
Antaranya, sepasang suami isteri menempuh perjalanan kira-kira 11km hampir setiap hari untuk ke premis itu bagi menikmati hidangan percuma.
“Bila saya tanya kenapa datang setiap hari, mereka kata kalau tak datang memang tak makanlah hari itu,” kata Mazlina kepada FMT.
Bagi Mazlina, kisah seperti itu mengingatkannya masih ramai bergelut dalam diam terutama ketika tekanan kos sara hidup terus menghimpit kehidupan harian.
Itulah juga faktor bagi Mazlina dan suaminya Jaffri Ahmad membuka RMP pada 6 Julai 2020, ketika ramai terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Ramai hilang kerja, pulang ke kampung dan berdepan kesempitan hidup.
“Kami mahu membantu kerana ingin memastikan tiada orang terpaksa menahan lapar,” katanya yang turut mengusahakan perniagaan di bawah jenama Ayam Bismi.
Kini, RMP menyediakan makanan kepada kira-kira 600 orang sehari, termasuk warga emas, ibu tunggal, pelajar, pekerja harian, musafir dan individu yang berdepan masalah kewangan sementara.
Tiada dokumen diperlukan dan tiada bukti kelayakan diminta kerana bagi Mazlina, orang lapar tidak sepatutnya ‘dimalukan’ hanya untuk mendapatkan makanan.
“Ada juga dibenarkan mengambil makanan menggunakan kupon untuk ahli keluarga yang sakit, selepas pihak RMP melawat dan mengesahkan keadaan mereka,” katanya.
Membesar dalam keluarga susah
Di sebalik usaha memberi makanan kepada ratusan orang setiap hari, Mazlina berkata idea RMP turut lahir daripada pengalaman hidupnya sendiri.
Anak tunggal kepada pasangan pesawah padi di Perlis itu membesar dalam keluarga susah, namun sejak kecil melihat bapanya tetap membantu orang lain.
“Ayah saya sendiri susah, tapi dia tetap pergi cari bantuan untuk orang kampung yang lebih susah daripada kami.
“Sifat itu saya rasa tertanam dalam diri saya sampai sekarang,” katanya yang turut percaya setiap rezeki diperoleh perlu dikongsi dengan golongan memerlukan.
Idea membuka RMP juga dipengaruhi pengalamannya ketika menunaikan umrah, apabila melihat budaya memberi makan kepada orang ramai sangat ditekankan.
Namun, keputusan membuka RMP bukan mudah kerana Mazlina dan suami pada awalnya bimbang makanan tidak mencukupi jika terlalu ramai datang, selain risau orang malu untuk makan di situ.
Makanan percuma, layanan seperti keluarga
RMP beroperasi 90 minit setiap Ahad hingga Jumaat, dari 12 hingga 1.30 tengah hari.
Setiap hari, kira-kira 70kg beras dimasak bersama pelbagai lauk seperti ayam goreng, kari, tomyam, sup dan nasi tomato, selain sayur, ulam serta sambal belacan.
Menurut Mazlina, makanan itu bukan disediakan secara ala kadar, sebaliknya dimasak seperti hidangan untuk keluarga sendiri.
“Kita bagi makan percuma, tapi layanan mesti lebih baik daripada kedai berbayar.
“Saya pesan dekat pekerja jangan tarik muka, jangan layan kasar dan sentiasa senyum walaupun penat,” katanya yang turut memberitahu pihaknya turut menerima sumbangan orang ramai untuk menjayakan bantuan itu.