Pindaan Akta Sewa Beli dijangka untungkan pembeli

Pindaan Akta Sewa Beli dijangka untungkan pembeli

Gabungan syarikat motor dan kredit berkata, pindaan akta itu akan bantu pembeli lebih memahami kos pinjaman kenderaan.

car showroom
FMCCAM berkata, persekitaran pembiayaan yang lebih telus akan perkukuh keyakinan awam terhadap pasaran automotif. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Pembeli kereta boleh menjangkakan kos yang lebih jelas, perbandingan pakej pembiayaan yang lebih mudah, dan penjimatan yang lebih saksama jika mereka menyelesaikan pinjaman lebih awal selepas Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 berkuat kuasa esok, menurut Gabungan Persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM).

Presidennya, Tony Khor berkata, sistem pembiayaan sewa beli baharu ini membantu pembeli lebih memahami kos pembiayaan sebenar melalui peralihan daripada kaedah pengiraan kadar tetap dan Peraturan 78 yang telah lama diguna pakai kepada sistem baki berkurangan dan kadar faedah efektif (EIR).

Di bawah sistem terdahulu, sebahagian besar faedah pada asasnya dikutip pada peringkat awal tempoh pinjaman, mengakibatkan penjimatan lebih rendah daripada dijangka apabila peminjam menyelesaikan pinjaman lebih awal.

“Dengan kaedah baki berkurangan yang baharu, faedah akan dikira berdasarkan baki prinsipal tertunggak, bukan lagi mengikut jumlah pinjaman asal,” katanya dalam kenyataan.

“Hasilnya, pengguna akan mendapat manfaat daripada ketelusan kos pembiayaan yang lebih tinggi, perbandingan yang lebih mudah antara pakej pembiayaan yang ditawarkan oleh institusi kewangan berbeza, penjimatan yang lebih adil apabila menyelesaikan pinjaman lebih awal, serta pemahaman yang lebih baik mengenai kos pembiayaan sebenar.”

Khor juga berkata, persekitaran pembiayaan yang lebih telus akan memperkukuh keyakinan awam terhadap pasaran automotif.

Pengguna yang memahami komitmen pembiayaan mereka dengan jelas lebih berkemungkinan membuat keputusan pembelian yang bertanggungjawab dan termaklum.

Menjawab kebimbangan bahawa sistem pembiayaan baharu ini mungkin menyukarkan atau meningkatkan kos pemilikan kenderaan, Khor berkata, pembaharuan yang seiring dengan pelaksanaan Akta tersebut bertujuan memberikan ketelusan, kesaksamaan dan perlindungan yang lebih baik kepada peminjam.

Khor seterusnya menggesa Putrajaya, Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan untuk memastikan aturan peralihan yang mencukupi disediakan.

Beliau berkata, FMCCAM percaya, untuk memastikan pelaksanaan berjaya, pendidikan awam yang komprehensif, kesediaan industri dan naik taraf sistem yang mencukupi amat diperlukan.

Justeru, beliau mengesyorkan langkah-langkah seperti kempen kesedaran awam secara meluas, pendedahan pembiayaan yang jelas dan seragam, serta garis masa pelaksanaan yang munasabah untuk institusi kewangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.