Dialog tiada makna apabila kepercayaan terhakis, tegas Malaysia di Dialog Shangri-La

Dialog tiada makna apabila kepercayaan terhakis, tegas Malaysia di Dialog Shangri-La

Menteri Pertahanan Khaled Nordin menyampaikan pendirian Malaysia bahaw ketegangan harus diurus secara bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang secara saksama.

Menteri Khaled Nordin menyampaikan pendirian Malaysia pada wacana ‘Mengurus Ketegangan Serantau Mendepani Persaingan Global’ sempena Dialog Shangri-La 2026. (Gambar Kementah)
SINGAPURA:
Pengurusan ketegangan tidak akan dapat dibincangkan secara bermakna apabila kepercayaan, kebolehpercayaan, dan rasa saling hormat-menghormati semakin terhakis, tegas Malaysia di Dialog Shangri-La 2026.

Di forum keselamatan anjuran International Institute for Strategic Studies, Malaysia menegaskan kepada 550 perwakilan dari 44 negara bahawa perjanjian, prinsip kemanusiaan, dan komitmen kini tidak diendahkan selepas berdekad-dekad diuar-uarkan dan ditekankan.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin memberitahu wakil-wakil peringkat kementerian dan pegawai kanan ketenteraan bahawa perkara tersebut ditafsirkan secara selektif, di kala ketegangan semakin meluas, menjerumuskan pelbagai pihak, dan bergolak.

“Akibatnya, kepercayaan tidak lagi bersifat sejagat. Ia kini menjadi semakin bersyarat, lebih memilih, dan berpaksikan keuntungan,” tegasnya, dalam ucapan sempena wacana ‘Mengurus Ketegangan Serantau Mendepani Persaingan Global’, semalam.

Malaysia menyertai keselamatan prasarana bawah laut bersama 16 negara. (Gambar Kementah)

Khaled menyampaikan pendirian Malaysia di kala delegasi diketuai beliau mengukuhkan hubungan pertahanan dengan lebih 10 negara rakan, menyertai inisiatif keselamatan, dan meneroka peluang kerjasama industri pertahanan.

Sepanjang persidangan, Khaled bertemu rakan sejawat dan pegawai kanan pertahanan dari kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Perancis; rakan serantau seperti Singapura dan Thailand; serta Itali, Kanada, Australia, New Zealand, Norway, Republik Czech, dan Qatar.

Perbincangan tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama pertahanan, meningkatkan perkongsian maklumat strategik termasuk ‘Maritime Domain Awareness’, serta mempererat koordinasi dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau dan global yang semakin kompleks.

Pada sesi pleno kelima persidangan semalam, Khaled menjadikan tindakan Norway membatalkan eksport sistem Naval Strike Missile (NSM) yang ditempah Malaysia sebagai contoh yang menekankan mesej Malaysia.

“Ia menimbulkan persoalan yang amat membimbangkan iaitu sama ada perjanjian antarabangsa dan perkongsian strategik masih boleh dipercayai,” katanya dalam ucapan.

“Apabila negara-negara membangun memungkiri perjanjian, mereka dikecam dan ditekan. Namun, apabila kuasa-kuasa besar atau sekutu melakukannya, keheningannya begitu ketara sekali.”

Khaled menyorot perhatian para perwakilan kepada orde antarabangsa yang semakin meruncing, apabila institusi yang ditubuhkan untuk menegakkan kestabilan, kerjasama, dan undang-undang seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu semakin lemah di tengah-tengah perseteruan geopolitik.

Malaysia membidas reaksi berat-sebelah terhadap genosid, jenayah perang, dan pencabulan undang-undang antarabangsa sebagai dua darjat yang nyata.

“Undang-undang antarabangsa seolah-olah di atas kertas semata-mata — untuk dipatuhi ‘Global Majority’ (kelompok negara membangun) tanpa soal, sebaliknya ditafsirkan secara terpilih oleh negara-negara berkuasa.”

Malaysia mengingatkan perwakilan bahawa isu hari ini bukan sekadar tentang persaingan antara negara, sebaliknya, lebih dalam lagi, kepercayaan yang semakin terhakis terhadap orde berasaskan peraturan dan sistem antarabangsa.

“Oleh itu, tanggungjawab kita hari ini bukan sekadar mengurus ketegangan. Sebaliknya memulihkan kredibiliti. Memulihkan ketekalan. Paling utama, memulihkan kepercayaan,” katanya.

“Kita mesti menegaskan semula bahawa komitmen harus penting. Bahawa perjanjian masih penting. Undang-undang antarabangsa mesti ditegakkan secara saksama ke atas semua negara — tanpa mengira saiz, kekayaan, kekuatan ketenteraan, mahupun pengaruh geopolitik.”

Penyertaan aktif Malaysia di Shangri-La Dialogue 2026 memperlihatkan komitmen berterusan dalam mendukung penyelesaian berasaskan dialog, memperkukuh diplomasi pertahanan, dan menggalakkan kerjasama pelbagai hala demi menjamin keamanan sejagat.

Antara pencapaian penting Malaysia ialah menyertai pelancaran ‘Guiding Principles for Underwater Infrastructure Defence Exchanges’ bersama 16 negara, mencerminkan komitmen memperkukuh perlindungan prasarana bawah laut.

Menteri Khaled Nordin bersama delegasi syarikat Brazil, Embraer Defense & Security. (Gambar Kementah)

Malaysia turut memanfaatkan persidangan dengan meneroka peluang kerjasama dengan syarikat Brazil, Embraer Defense & Security, yang mana perbincangan tertumpu pada potensi kerjasama yang menyokong pembangunan keupayaan pertahanan negara, pemindahan teknologi, serta pengukuhan ekosistem industri pertahanan tempatan.

Persidangan Dialog Shangri-La 2026 berlangsung di Singapura dari 29 hingga 31 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.