Ahli Geng TR ditangkap semasa penerbangan dari Chennai ke Bangkok

Ahli Geng TR ditangkap semasa penerbangan dari Chennai ke Bangkok

Pengarah JSJ Bukit Aman M Kumar berkata suspek ditahan dengan kerjasama pihak berkuasa India dan Thailand dalam operasi khas Op Lima.

M Kumar
Pengarah JSJ Bukit Aman M Kumar berkata suspek ada rekod pelbagai kesalahan serius termasuk bunuh, rompak berkumpulan menggunakan senjata dan mendatangkan kecederaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki yang dikehendaki polis kerana terlibat dalam kegiatan jenayah terancang Geng TR berjaya ditahan hari ini semasa dalam penerbangan dari Chennai, India menuju ke Bangkok, Thailand.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar berkata suspek ditahan dengan kerjasama pihak berkuasa India dan Thailand dalam operasi khas dikenali sebagai Op Lima sebelum dibawa pulang ke Malaysia.

“Suspek merupakan ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng TR’ yang bergerak aktif melakukan kesalahan jenayah kekerasan dan aktiviti dadah di Selangor sejak 2021.

“Lelaki warga tempatan berumur 46 tahun itu juga mempunyai waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Selangor pada 17 April selain notis merah Interpol yang dikeluarkan pada 7 Mei lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Kumar berkata suspek akan disiasat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan bakal berdepan hukuman penjara lima tahun hingga 20 tahun.

Katanya, suspek juga mempunyai rekod dalam pelbagai kesalahan serius termasuk kes bunuh, rompak berkumpulan menggunakan senjata dan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

“Suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 10 pagi esok mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.

“Polis juga merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa India dan Thailand atas sinergi serta kerjasama erat yang diberikan,” katanya.

Pada 2024, seramai 20 individu didakwa di Mahkamah Sesyen Klang atas pertuduhan menyertai kumpulan jenayah terancang, Geng TR sejak 2019.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.