Kehilangan Jaslinda tiada unsur jenayah, kata polis

Kehilangan Jaslinda tiada unsur jenayah, kata polis

Polis menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu operasi pencarian.

Jaslinda Saludin
Ketua Polis Tapah Abdul Malik Hasim berkata hasil siasatan awal tidak menemui sebarang petunjuk mengaitkan kehilangan Jaslinda Saludin dengan unsur jenayah setakat ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis mengesahkan kehilangan Jaslinda Saludin sejak 23 Mei lalu ketika menyertai pendakian di Gunung Batu Putih tidak membabitkan unsur jenayah.

Ketua Polis Tapah, Abdul Malik Hasim, berkata hasil siasatan awal tidak menemui sebarang petunjuk mengaitkan kehilangan wanita berusia 49 tahun itu dengan unsur jenayah, setakat ini.

“Saya faham ada pelbagai dakwaan yang berlegar di media sosial, termasuk berkaitan along, namun hasil siasatan mendapati kehilangan ini tidak melibatkan sebarang unsur jenayah,” katanya menurut Sinar Harian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat penyelarasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di IPD Tapah.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan, termasuk merakam keterangan 13 individu dalam kumpulan pendakian itu bagi melengkapkan siasatan.

Malik menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu operasi pencarian.

Terdahulu, Malik dilaporkan berkata, operasi SAR Jaslinda akan diteruskan dalam skala kecil bermula esok dengan diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.