Landskap politik punca gabungan dibentuk selepas pilihan raya, kata Salleh

Landskap politik punca gabungan dibentuk selepas pilihan raya, kata Salleh

Bekas ketua menteri Sabah itu berkata Malaysia bergerak ke arah politik gabungan selepas pilihan raya kerana landskap politik kini lebih berpecah.

salleh said keruak
Bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak berkata selama berdekad Malaysia mengamalkan model gabungan sebelum pilihan raya sebelum semua itu berubah pada PRU15 apabila tiada gabungan peroleh majoriti mudah di Parlimen. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak berkata keadaan landskap politik negara yang menjadi lebih berpecah menyebabkan Malaysia mula bergerak ke arah politik gabungan selepas pilihan raya.

Salleh berkata secara asasnya, terdapat dua cara kerajaan gabungan dibentuk iaitu sebelum pilihan raya atau selepas pilihan raya.

Katanya, yang pertama ialah gabungan pra-pilihan raya di mana parti-parti politik bersetuju untuk bekerjasama sebelum hari mengundi, mengelakkan pertembungan kerusi, serta berkempen berdasarkan platform dan manifesto bersama.

“Malaysia mengamalkan model ini selama beberapa dekad melalui Parti Perikatan dan kemudian Barisan Nasional.

“Dari 1950-an hingga 2018, politik gabungan sebahagian besarnya ditentukan sebelum pilihan raya,” katanya dalam catatan di Facebook.

Tambahnya, model kedua adalah gabungan pasca-pilihan raya di mana parti-parti bertanding secara berasingan dan hanya berunding untuk membentuk kerajaan selepas keputusan pilihan raya diketahui.

Menurutnya, gabungan pasca-pilihan raya biasanya berlaku apabila tiada parti atau gabungan memperoleh majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan sendiri.

“Malaysia mula bergerak ke arah model ini apabila landskap politik menjadi lebih berpecah. Selepas PRU15 pada 2022, tiada gabungan memperoleh majoriti mudah di Parlimen.

“Akibatnya, parti-parti politik berunding selepas pilihan raya dan membentuk kerajaan perpaduan yang terdiri daripada Pakatan Harapan, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa parti lain,” katanya.

Salleh berkata, Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang mengamalkan pendekatan ini dan pembentukan kerajaan melalui rundingan selepas pilihan raya adalah perkara biasa di Jerman, New Zealand dan Denmark.

Katanya lagi, baru-baru ini, Afrika Selatan juga membentuk kerajaan gabungan selepas pilihan raya 2024 apabila tiada parti memperoleh majoriti mutlak.

“Politik gabungan masih menjadi realiti di banyak negara demokrasi. Perbezaannya hari ini bukan sama ada gabungan diperlukan atau tidak, tetapi sama ada ia dibentuk sebelum atau selepas pilihan raya.

“Malaysia kini semakin beralih daripada model pertama kepada model kedua,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.