
Kementerian Kewangan mengumumkan harga RON97 turun 30 sen daripada RM4.65 kepada RM4.35 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada harga RM3.72 seliter, murah 20 sen berbanding RM3.92.
Harga diesel di Semenanjung dikurangkan sebanyak 20 sen, daripada RM4.87 kepada RM4.67 seliter.
Harga RON95 di bawah program BUDI95 kekal RM1.99 seliter, manakala diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan tidak berubah pada RM2.15 seliter.
Petrol bersubsidi di bawah sistem kawalan petrol bersubsidi (SKPS) kekal pada RM2.05 seliter, manakala diesel bersubsidi di bawah sistem kawalan diesel bersubsidi (SKDS) dijual pada harga RM2.15 seliter.
Kementerian Kewangan menggesa rakyat merancang perjalanan dengan lebih cekap dan mengurangkan perjalanan tidak perlu bagi membantu keterjaminan bekalan bahan api negara di tengah-tengah ketidakpastian bekalan global berterusan.
“Keadaan ini menunjukkan pasaran petroleum global masih berdepan kekangan bekalan fizikal, meskipun purata harga pasaran minggu terdahulu mencatatkan penyusutan,” katanya dalam kenyataan.