Dr Vida tidak berhasrat tundukkan Annuar Musa

Dr Vida tidak berhasrat tundukkan Annuar Musa

Langkahnya berbuat demikian adalah disebabkan jiwanya yang mahu membela maruah orang Kelantan menerusi bola sepak.

qu-Puteh-Vida
SHAH ALAM : Pengasas syarikat Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman menjelaskan, beliau tidak pernah berhasrat untuk menundukkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berhubung langkahnya menaja pasukan negeri itu.

Sebaliknya, beliau mendedahkan, tujuan berbuat demikian adalah kerana jiwanya yang mahu membela maruah orang Kelantan menerusi bola sepak.

Beliau yang lebih popular dengan panggilan Datuk Vida memberitahu, Annuar bukan `tunduk’ kepadanya ekoran perjanjian yang dimeterai, tetapi Presiden KAFA itu mempunyai wawasan dan visi terhadap bola sepak Kelantan.

“Sebagai syarikat, ini adalah CSR (Tanggungjawab Sosial Korporat) saya menaja dan saya rasa pembangunan yang saya bawa itu boleh membantu menjadikan Kelantan pasukan yang sangat digeruni antara pasukan lain.

“Walaupun kita kekurangan bajet sikit, duit tak banyak tapi semangat kita kaya dan banyak. Pasukan Kelantan perlu mempunyai dana yang cukup untuk membayar gaji pemain agar pembangunan bola sepak negeri itu terjamin,” katanya menerusi temubual eksklusif bersama FMT, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Hasmiza berkata, beliau bukan sekadar menaja pasukan Kelantan tetapi turut memberikan kepakaran dalam menjenamakan semula pasukan itu dengan nama Pamoga Qu Puteh The Red Warriors yang dilihat lebih komersial.

“Dan dalam masa yang sama boleh memberikan hasil dalam permainan kita seronok tengok,” katanya.

Sebelum ini, Dr Vida mengenakan syarat kepada KAFA untuk menaja pasukan itu antaranya, Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu akan dicat warna merah jambu, sementara pasukan Kelantan bertukar nama Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.

Selain dua syarat itu, KAFA turut bersetuju menerima 33 lagi syarat tambahan yang dikemukakan oleh pengasas syarikat Vida Beauty Sdn Bhd.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.