Suspek dipakaikan ungu supaya senang dicam, kata Khalid

Suspek dipakaikan ungu supaya senang dicam, kata Khalid

Polis berkata bilangan suspek terlalu ramai menyebabkan mereka terpaksa dibezakan.

igp-baju-lokap
KUALA LUMPUR: Polis hari ini mempertahankan amalan membawa suspek ke mahkamah dengan berpakaian lokap, selepas ia dipersoalkan seorang peguam yang berkata amalan itu berlawanan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan juga melanggar Peraturan Penjara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata suspek dipakaikan baju ungu supaya pihak keselamatan dapat mengecam dan mengenal pasti tahanan dengan mudah.

“Tahanan polis ramai, kita bawa dengan lori ke mahkamah. Kalau dia berpakaian biasa, macam orang biasa, kalau jadi apa-apa kita tak dapat mengambil tindakan dengan pantas,” kata Khalid hari ini.

“Itu tujuan utama memakaikan mereka dengan pakaian warna ungu.”

Sebelum ini, peguam N Surendran mempertikaikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas 2 suspek terkenal dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman mereka dengan berpakaian seragam lokap SPRM berwarna oren.

Dua tahanan itu ialah bekas pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dan Exco Pulau Pinang Phee Boon Poh.

“Dipaksa memakai seragam jingga terang dan diarak di premis mahkamah memalukan tahanan dan mewujudkan persepsi yang beliau seorang pesalah atau penjenayah, walaupun mahkamah belum menentukan,” katanya.

Surendran berkata ia berlawanan dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang mahu layanan adil diberikan kepada pesalah undang-undang, di samping melanggar Peraturan Penjara 2000.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad turut mempertahankan amalan itu. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut sambil berkata mereka yang tidak berpuas hati boleh mengambil tindakan undang-undang.

Khalid berkata polis terpaksa berdepan tahanan lokap yang ramai dan mempunyai cara sendiri menanganinya.

“Kita ada peraturan lokap kita. PDRM membawa ramai pesalah.

“Kadang-kadang, dalam satu hari, hingga 2-3 perjalanan ke mahkamah,” katanya.

SPRM pertahan amalan suspek pakai baju lokap

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.