
Dalam ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno hari ini, Najib menolak anggapan Umno sebuah parti bersifat rasis.
“Umno bukanlah parti bersifat rasis. Jika tidak, bagaimana kita diterima, mengepalai parti-parti komponen daripada pelbagai bangsa sejak puluhan tahun dengan penuh berhemah?
“Umno sebetulnya menjangkau segalanya, kerana kita selama ini meraikan kepelbagaian dalam negara dan kita percaya kepada keharmonian untuk hidup rukun bersama, saling bergantung dan lengkap melengkapi. Tegasnya, saya ulang Umno bukan anti kaum Cina.”
Bagaimanapun, Najib berkata kaum Cina dan sebahagian juga kaum India “turut terseret, terperangkap menjadi mangsa persepsi dan pembohongan pembangkang”.
Najib turut mengakui Umno hampir tewas akibat “permainan” pembangkang.
“Semua orang tahu, Umno tidak lemah. Malah kita masih menang dan berjaya menambah jumlah 79 kepada 88 kerusi Parlimen. Namun, akibat permainan jelek pembangkang, kita telah menjadi mangsa ‘politik persepsi’.
“Kita hampir tewas akibat permainannya. Walaupun di sudut realiti dan faktanya, kita berada di landasan yang betul dan bersungguh-sungguh dalam berjuang, berbanding pembangkang yang penuh dengan sandiwara dan hanya pandai bermain wayang,” katanya.