
Padang permainan kanak-kanak semakin hari semakin kosong, tidak semeriah dulu. Malah peralatan permainan yang rosak juga tidak diperiksa.Bagi Kevin, dia tidak pernah dibawa ke padang permainan yang berdekatan dengan rumahnya di Kota Kemuning. Dia hanya duduk di rumah. “Saya bermain bola sepak, saya sekarang sudah mahir, tengok, saya dah masukkan 4 gol,” kata kanak-kanak 11 tahun itu sambil menunjukkan telefon pintar miliknya.
Selepas itu, Kevin bergegas ke tingkat atas, untuk mengurung dirinya di dalam bilik bersama telefonnya itu.
Ibu Kevin pada awalnya selesa apabila anaknya itu bukan seperti kanak-kanak lain yang merengek untuk keluar dari rumah. Asalkan diberi Ipad atau telefon pintar, dia boleh duduk diam.
Kini, situasi dialami Kevin dan ibunya bukan lagi sesuatu yang pelik atau jarang berlaku.
Masalah ketagihan internet, lebih-lebih lagi di kalangan kanak-kanak adalah masalah global yang semakin membimbangkan. Semuanya berpunca daripada perkembangan teknologi maklumat yang tidak ditapis apabila disampaikan kepada kanak-kanak dan kelalaian ibu bapa itu sendiri.
Di Korea Selatan misalnya, Agensi Maklumat Kebangsaannya melaporkan terdapat kira-kira 160,000 kanak-kanak berusia 5 hingga 9 tahun ketagihan internet, samada diakses melalui telefon pintar, tablet atau komputer.
Penulis dari Associated Press, Youkyung Lee menjelaskan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di negaranya kini tidur bertemankan telefon pintar android dan bukan lagi patung beruang.
Ekoran itu, negara itu mengiktiraf Kaunselor Ketagihan untuk mengenal pasti dan menilai ketagihan supaya dapat mengenal pasti kadar rawatan yang boleh digunapakai.
Manakala di China, ketagihan internet digambarkan sebagai satu masalah yang menyelubungi setiap keluarga. Remaja di negara itu menghabiskan kira-kira 17 jam di hadapan skrin, melayari internet dan bermain game, menyebabkan mereka putus hubungan dengan dunia sebenar.
Di Singapura, sebuah laporan mendedahkan, seorang remaja terpaksa menunggu untuk disenarai dalam Khidmat Negara kerana beratnya yang mencapai 100 kg berpunca daripada ketagihan internetnya. Dia dikatakan ‘jatuh cinta’ dengan permainan dalam talian selepas bapanya membelikan dia PlayStation sewaktu berusia 5 tahun.
Di Malaysia pula, walaupun belum ada rekod rasmi jumlah dan statistik mengikut usia kanak-kanak yang ketagih internet, tetapi angka itu dipercayai meningkat. Mungkin juga ramai ibu bapa yang masih belum sedar tentang ketagihan era digital anak-anak mereka.
Ketagihan internet juga boleh memberikan kesan lain, contohnya kesihatan (tekanan mental, sindrom Carpal Tunnel, sakit belakang, berat badan), kemerosotan dalam akademik, kekok dalam perhubungan, pesona diri dalam talian iaitu mempunyai identiti asing dan tersendiri dalam dunia maya.
Satu lagi kesan yang membimbangkan ialah dari segi jenayah.

Pakar Kriminologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohammad Rahim Kamaluddin berkata pengunaan telefon pintar yang dilengkapi dengan Internet menjadi penyumbang utama pelbagai jenayah berkaitan kanak-kanak.
Jelasnya, masalah sekarang bukan sekadar pengaruh negatif tetapi ketagihan alam maya yang boleh menyebabkan kanak-kanak mudah dimanipulasi dan dibentuk semula sebagai seorang insan yang berbeza daripada sebenar.
“Kita semua tahu bagaimana Internet menjadi saluran mudah pedofil,” kata Mohammad Rahim yang turut menyebut perihal ‘child grooming’ iaitu perlakuan berkawan dan mewujudkan hubungan emosi dengan kanak-kanak, kadang-kala termasuk keluarga, untuk mengurangkan kekangan penyalahgunaan seksual terhadap kanak-kanak.
“Akhirnya, ia mengheret kanak-kanak ke dalam dunia pelacuran, penyeludupan atau pornografi. Internet dan laman sosial menjadi penghubung yang mudah dan ketagihannya menyebabkan kanak-kanak tidak dapat keluar daripada kekangan kenalan alam maya dan terus terjerumus dengan pengaruh itu,” katanya kepada FMT Ohsem baru-baru ini.
Ekoran itu, Mohammad Rahim berpesan supaya ibu bapa dan penjaga memantau dan mengehadkan tempoh masa pengunaan telefon pintar atau peralatan berteknologi agar mereka dapat ‘menyelamatkan’ anak-anak mereka daripada menjadi ‘penagih internet’.
Mohammad Rahim akui pada usia muda itu, hanya ibu bapa yang boleh menyelamatkan kanak-kanak ini dengan bertanggungjawab memantau aktiviti mereka.
“Periksa telefon bimbit mereka. Ini bukan soal privasi, malah ini adalah soal keselamatan. Ibu bapa pada zaman ini juga dalam kondisi untuk belajar cara penggunaan telefon pintar dan applikasi media sosial.
“Kegagalan ibu bapa mengemas kini diri dengan pengetahuan internet juga memudahkan kanak-kanak menyembunyi dan memanipulasi aktiviti atas talian,” katanya.
Walaupun tidak menafikan internet sebagai satu sumber ilmu pengetahuan tanpa sempadan, tetapi beliau mengingatkan setiap unsur di dunia ini ada baik dan buruknya.
Tidak ketinggalan elemen jenayah yang bersangkut-paut dengan ketagihan internet seperti penculikan apabila kanak-kanak berkongsi segala aktiviti termasuk gambar yang berpotensi dijadikan sumber rujukan penjenayah.
“Kanak-kanak dalam internet ibarat katalog penjenayah. Mereka mengekori kanak-kanak ini dalam internet dan menculik sekiranya mendapati terabai atau bukan dalam pengawasan ibubapa,” ujar Mohammad Rahim.
Tidak ketinggalan, inisiatif kanak-kanak dan remaja itu sendiri yang akan cuba meneroka perkara baharu.
“Membuat panggilan video dengan orang yang tidak dikenali, memuat turun pelbagai aplikasi komunikasi di mana ada yang tidak memerlukan nombor telefon untuk berinteraksi, mengaktifkan ‘search nearby’ mencari individu dari lokasi yang sama, akibatnya kanak-kanak menjadi lebih mudah diserang,” tambah Mohammad Rahim.
Jadi, apa penyelesaianya?
“Adalah tidak logik untuk mengharamkan penggunaan internet di kalangan kanak-kanak kerana mereka akan ketinggalan zaman, apatah lagi sebagai gen Z. Jadi perkara paling asas ialah mendidik mereka,menapis dan memantau penggunaan internet dan menjadi ibu bapa yang bertanggungjawab,” sudahi beliau.