Kekangan kewangan cabaran besar pesakit kanser

Kekangan kewangan cabaran besar pesakit kanser

Doktor perubatan berkata berbanding masalah kesihatan lain seperti dialisis, talasemia dan pemindahan organ, hampir tiada sokongan kewangan untuk pesakit barah.

kanser-patien-t
fmt-ohsem-inside-article1Kanser atau penyakit barah, umpama satu ugutan kepada manusia zaman moden. Semakin hari semakin ramai yang didiagnosis dan tahukah anda ia bukan sekadar penyakit yang boleh meruntuhkan kekuatan mental dan fizikal, malah sosial.

Bercakap mengenai aspek sosial, mungkin ramai yang tidak tahu betapa survivor kanser juga bertarung daripada segi kewangan. Semuanya untuk mendapatkan peluang kedua demi bersama yang tercinta semampu yang boleh.

Seorang survivor kanser yang hanya mahu dikenali sebagai Lo berkata, beliau hampir hilang arah selepas habis menggunakan had bantuan insurans untuk merawat barah buah pinggang yang dikesan kira-kira 10 tahun lalu.

“Pada awalnya saya mendapatkan rawatan alpha interferon dan kemoterapi tetapi ia tidak berhasil. Jadi saya diarah membuat terapi sasaran. Namun selepas 2 rawatan, saya kehabisan insurans dan terpaksa menggunakan duit simpanan.

“Kos rawatan bukan murah dan saya berputus asa selepas semua simpanan saya habis,” katanya mengenang detik berada di ambang kesukaran.

Namun, Lo bernasib baik apabila doktornya mendaftarkannya dalam Program Bantuan Pesakit Sunitinib (sejenis program bantuan dana orang ramai untuk membekalkan ubat-ubatan pesakit kanser buah pinggang) .

Kanser buah pinggang iaitu sel renal karsinoma (RCC) adalah antara 10 kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan masyarakat Barat.

Di peringkat global, kira-kira 271,0002 kes barah buah pinggang didiagnosis setiap tahun dan 116,000 mati akibat penyakit ini.

Di Malaysia, RCC adalah barah ke-17 paling kerap dalam kalangan lelaki dan ke-20 dalam kalangan wanita. Kes ini meningkat dalam kedua-dua jantina yang berusia 40 tahun dan ke atas, dengan kaum Cina paling tinggi diikuti India dan Melayu.

Kembali kepada kesan ekonomi yang buruk kepada pesakit, satu kajian mendedahkan 5% daripada pesakit kanser dan keluarga di Asia Tenggara ditolak ke dalam garis kemiskinan di antara Mac 2012 dan September 2013.

Kajian Dr Nirmala Bhoopathy dari Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) juga mendapati kanser turut mengheret pesakit ini kepada “malapetaka kewangan” sepanjang mereka dirawat.

Mengambil kira perkara itu, satu sidang meja bulat diadakan baru-baru ini untuk membincangkan isu akses kewangan pesakit kanser.

Timbalan Pengerusi Bersama Menentang Kanser (TAC), Dr Lim Teck Onn membentangkan topik Akses Rawatan Kanser di Malaysia mengetengahkan kesulitan mendapatkan bantuan kewangan untuk penyakit ini.

“Walaupun pembiayaan penjagaan kesihatan meningkat tetapi perbelanjaan untuk rawatan ini juga semakin mahal. Ini menyebabkan kira-kira 51% isi rumah pesakit kanser yang masih hidup di Malaysia ditolak ke dalam kesulitan ekonomi parah.

“Berbanding masalah kesihatan lain seperti dialisis, talasemia dan pemindahan organ, hampir tiada sokongan kewangan untuk pesakit barah,” kata Dr Lim.

Berdasarkan kajian TAC, 50% daripada kematian akibat barah payu dara di Malaysia boleh dielakkan jika ia didiagnosis awal atau dirawat tepat pada masanya.

“Masalah pembiayaan penjagaan kesihatan kanser menyekat orang ramai memperoleh rawatan. Ia satu isu penting dan perlu ditangani segera,” katanya.

Bagi barah buah pinggang pula, data Pejabat Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia yang diterbitkan pada 2007 mencatatkan peningkatan signifikan dan dipercayai ia terus berkembang.

Pakar onkologi menganggarkan RCC meningkat ekoran gejala awalnya tidak dapat dikesan maka pesakit hanya didiagnosis di peringkat lanjut.

Akibatnya, pesakit menanggung beban besar apabila terpaksa berbelanja untuk penjagaan kesihatan seperti ujian radiologi, kos rawatan pembedahan, hospital dan pengawasan berkala dan lawatan penilaian berulang yang secara umumnya tinggi.

Memandangkan RCC hanya dikesan pada peringkat lanjut, pesakit perlu menghadiri pelbagai rawatan tambahan dan rawatan yang paling umum ialah terapi sasaran.

Rawatan ini menggunakan ubat atau bahan khusus untuk menyerang sel kanser yang turut menyebabkan kerosakan kepada sel normal.

Bekas presiden Persatuan Onkologi Malaysia (MOS) dan Naib Presiden Kolej Radiologi (COR) Malaysia, Datuk Dr Mohamed Ibrahim Wahid berkata rawatan kanser buah pinggang semakin maju khususnya dengan terapi sasaran molekul (MTT) yang bagaimanapun bertindak balas secara berbeza kepada setiap pesakit.

Namun, daripada 7 ejen yang diluluskan di Malaysia sejak lebih sedekad lalu hanya satu boleh didapati di hospital awam.

Dr Ibrahim berkata rawatan terapi kanser berkembang ketara sehingga terdapat banyak ruang untuk kita menguruskan keadaan kronik dengan baik.

“Pesakit yang menjalani rawatan tidak boleh meneruskan pekerjaan, menyebabkan sumber pendapatan terjejas sekali gus mengehadkan akses kepada rawatan lanjut.

“Jika tiada penyelesaian diusahakan sekarang maka ia akan membawa kesan besar kelak,” kata Dr Ibrahim.

Kanser, satu beban utama khususnya di negara berpendapatan rendah dan sederhana seperti Malaysia, di mana sistem kesihatan masih tidak bersedia untuk berdepan cabaran menyediakan pembiayaan penjagaannya.

Sehubungan itu, TAC berharap kerajaan Malaysia akan terus memastikan semua orang mempunyai akses kepada perkhidmatan kesihatan tanpa menanggung kesulitan kewangan.

Lagipun, tanpa akses kepada ubat-ubatan dan rawatan, negara kita juga tidak boleh menuju ke arah matlamat untuk mengurangkan jumlah kematian boleh dielakkan dan meningkatkan survival pesakit dengan penyakit yang akut seperti kanser.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.