
Muak dan geram dengan burung ungu yang tidak henti muncul dalam media sosial anda?Jika belum mengesan burung ungu itu, maknanya anda tidak aktif di laman sosial, betul tak?
Trash Dove, emoji pelekat terbaru dalam Facebook yang sedang digunakan secara tular di media sosial, khususnya di Asia adalah hasil rekaan artis kartun dari Amerika, Syd Weiler.
Pelukis kartun ilustrasi dari Florida memperkenalkan burung tersebut pada September 2016 yang kemudiannya diperkenalkan semula sebagai set pelekat di Facebook pada Januari 2017.
Trash Dove tampil dalam pelbagai aksi dan anda mesti lebih mengenali emoji popularnya, yang menunjukkan ia bersungguh-sungguh menghantukkan kepala ke atas dan bawah.
Sebenarnya, sebelum menjadi ikutan di Malaysia, ia dipopularkan secara besar-besaran di Thailand.
Bayangkan selepas diperkenalkan pada Februari, dalam masa hanya seminggu, ia mencapai 4 juta tontonan netizen.
Sebagai menghargai penggunaan emoji burung ungu itu, pelukis Weiler merakam sebuah video mengucapkan terima kasih kepada para netizen khususnya di Thailand.
“Hello Thailand, terima kasih atas sokongan anda. Saya benar-benar gembira kerana anda suka pelekat ini,” katanya.
Tetapi, bukan semua orang yang suka burung itu. Betul tak?
Menurut laporan BBC, terdapat petisyen untuk mengharamkan pelekat burung ungu daripada digunakan sebagai emoji kerana bosan melihat kepalanya yang terlonjak-lonjak.
Apapun, makna di sebalik hentaman kepala masih kabur dan mungkin itulah sebabnya ia sangat popular.
Nampaknya 2017 bermula dengan burung ungu di laman-laman sosial.
Mari kita lihat sejauh mana gelagat burung ini bertahan.