
Beberapa hari pada minggu lepas akhbar dan blog tempatan asyik bercerita mengenai lelaki Kelantan, Muhamad Khalid Ismail yang kini sudah 9 tahun menetap di Korea Selatan.Semua orang berkongsi berita mengenai kefasihan Khalid berbahasa Korea sehingga menjadi tetamu khas rancangan Abnormal Summit bagi menceritakan perkara menarik mengenai Malaysia.
Kini Khalid terkenal di Korea Selatan dan Malaysia tetapi ia bukan satu perjalanan yang mudah bagi anak tempatan ini sampai ke tahap itu.
Menurutnya bukan mudah untuk mendapat tempat di kalangan orang Korea Selatan kerana mereka amat mementingkan status dan penampilan kalau ‘kurang’ sikit memang tidak dipandang.
“Kalau kita perasan, orang Korea gemar mengenakan aksesori mahal dan berjenama kerana ia melambangkan status dan mahu dipandang mulia.
“Mereka juga memandang rendah pada pelancong Asia khususnya yang datang dari Asia Tenggara dan Asia Selatan.
“Mereka menganggap pelancong ini masih mundur dan kotor,” katanya kepada FMT Ohsem.
Bagaimanapun Khalid tidak menafikan segelintir rakyat Korea tetap menghormati Malaysia kerana mereka tahu betapa membangunnya Malaysia.
Awal penghijrahan Khalid ke Korea Selatan, layanan yang diterima agak berbeza.
Salah satu sebabnya ialah batas bahasa di mana rakyat Korea tidak fasih bertutur bahasa Inggeris.
“Di Korea saya menjaga penampilan dan cara berpakaian untuk memberi tanggapan yang baik,” katanya yang bekerja di Samsung selepas lama melalui detik sukar mencari pekerjaan yang sesuai.
“Saya memilih bekerja di Samsung kerana syarikat itu dipandang tinggi di sini.
“Kalau orang tahu saya bekerja di Samsung, layanan mereka terus berubah kerana bagi mereka pekerja Samsung dianggap berkemahiran tinggi dan elit,” katanya.
Khalid akui masalah racisme dan memandang rendah orang yang berkulit gelap wujud di mana-mana sahaja, dan Korea Selatan juga tidak terlepas dari masalah itu.
Namun peredaran zaman, globalisasi dan generasi baru lebih terbuka, mungkin kerana pendedahan yang diperolehi menerusi Internet dan sebagainya.
Apapun, Khalid menekankan pandangan yang diberikan itu subjektif, merujuk kepada pengalaman sendiri.
Ditanya jika beliau mempunyai teman wanita Korea dia berkata itu soalan cepu emas.
“Sudah 10 tahun saya di sini, mestilah saya pernah ada teman wanita,” katanya sambil enggan mendedahkan status dirinya sekarang.
Khalid daripada Kota Bharu, Kelantan ke Korea Selatan untuk menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan mekanikal pada 2007 selepas mendapat tajaan JPA.
Dia belajar bahasa Korea selama setahun di pusat bahasa Universiti Kebangsaan Seoul.
Berat hati untuk meninggalkan Korea, Khalid mencuba nasib mencari kerja di mana lebih 40 permohonan kerja dihantar malangnya 70% ditolak kerana majikan tidak mahu mengambil pekerja warganegara asing.
Akhirnya Khalid memulakan karier di Samsung C&T.
Khalid memasang cita-cita untuk meneroka peluang baharu menjadi pemudah bicara dalam memperketatkan hubungan niaga 2 hala antara Malaysia dan Korea pada masa depan.
Rancangan Abnormal Summit yang menjadi tular ialah sejenis program bual bicara menggunakan konsep forum di mana setiap panel mewakili negara masing-masing dan di pengerusikan oleh negara tuan rumah iaitu Korea Selatan.
Khalid menceritakan keunikan dan keistimewaan Malaysia khususnya dari aspek masyarakatnya yang majmuk, kepelbagaian budaya serta agama. Bak kata, macam duta pelancongan Malaysia di Korea Selatan dah!
Apatah lagi kini penampilan Khalid juga seperti hero drama Korea, tak lagi ada sisi jejaka Kelantan.
https://www.facebook.com/newmalaysianpostofficial/videos/1253686281382309/