Ubah ‘lebuh raya Persekutuan’ jadi ‘jalan raya daerah’ selamatkan perniagaan minuman keras

liquor-shops-on-highway-sidfmt-ohsem-inside-article1Apabila Mahkamah Agung India mengharamkan penjualan dan penggunaan alkohol dalam lingkungan 500 meter dari lebuh raya, kerajaan negeri membuat pindaan untuk mengelak perintah itu.

Beberapa bahagian lebuh raya Persekutuan dan negeri yang terjejas akibat pengharaman itu diubah menjadi “jalan raya daerah”.

Mudah.

Tidak ada lebuh raya, tidak ada pengharaman.

Dari sudut jalan raya di India, lebuh raya Persekutuan adalah lebih baik kerana dibina dan diurus oleh Jabatan Pengangkutan Persekutuan. Jalan raya daerah atau bandar adalah tanggungjawab kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan.

Dengan menamakan semula lebuh raya mereka sebagai jalan raya daerah, kerajaan negeri sebenarnya mahu menyelamatkan perolehan cukai bernilai berbilion dolar daripada perniagaan alkohol.

Bagaimanapun, kerajaan negeri itu bertanggungjawab menguruskan lebuh raya yang ditukar menjadi jalan raya daerah.

Untuk mengathui sama ada tindakan mereka itu berbaloi atau tidak, kita tunggu dan lihat.

Apa yang lebih penting ialah sama ada kerajaan negeri mempunyai sumber kewangan serta kemampuan untuk mengekalkan tahap kualiti yang diamalkan oleh pihak berkuasa lebuh raya Persekutuan.

Aspek keselamatan adalah kebimbangan utama jalan raya di India sama ada lebuh raya atau bukan.

Keputusan pengharaman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Agung itu baru-baru ini untuk menjadikan jalan raya lebih selamat dengan menyekat pemandu memandu dalam keadaan mabuk.

Sekiranya kerajaan negeri mengurangkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya, sudah tentu ia akan menyumbang kepada rekod kemalangan jalan raya di India yang membimbangkan.

Bagi bandar dan perbadanan perbandaran dengan penduduk kurang daripada 20,000 orang, perintah pengharaman itu dikuatkuasakan dalam lingkungan 220 meter.

Jangan terkejut jika ada bandar yang mula mengira semula jumlah penduduk mereka.

Desakan pengharaman penguatkuasaan semakin meningkat kerana angka kemalangan jalan raya yang tinggi di India.

Menurut statistik kerajaan, seramai 146,000 orang terkorban dalam kemalangan jalan raya pada 2015.

Lebih daripada 3 kali ganda bilangan itu mengalami kecederaan yang melibatkan hampir setengah juta kemalangan.

Menurut satu petisyen yang disiarkan dalam media tempatan, tahun 2015 mencatat purata 1,374 kemalangan dan 400 kematian sehari.

Karnataka, Kerala, Madhya Pradesh, Maharashtra, Tamil Nadu dan Uttar Pradesh adalah antara negeri yang mencatat angka kematian yang tinggi akibat kemalangan jalan raya.

Alkohol hanyalah satu faktor menyumbang kepada angka kemalangan yang tinggi di jalan raya di India.

Keadaan jalan raya yang teruk, pemanduan yang buruk serta kurang penguatkuasaan peraturan jalan raya menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

Bukanlah sesuatu yang pelik melihat trak yang lebih muatan, bas yang sarat dengan penumpang dan pemandu kereta yang melanggar had laju serta peraturan jalan raya.

Kerajaan Persekutuan meletak sasaran mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50% menjelang 2020.

Sejak tahun kebelakangan, banyak pembinaan lebuh raya dijalankan di India. Lebuh raya ini meningkatkan kegiatan pembinaan hartanah serta menggalakkan ribuan kedai menjual makanan serta minuman untuk menampung peningkatan jumlah kenderaan.

Pelaburan besar dibuat untuk membina kedai menjual alkohol, restoran, pub serta hotel.

Jelas sekali tindakan kerajaan negeri menamakan semula lebuh raya mereka sebagai jalan raya daerah adalah untuk menyelamatkan sumber perolehan mereka.

Mahkamah Agung India melahirkan kebimbangan terhadap langkah kerajaan negeri mengeluarkan begitu banyak lesen kepada penjual alkohol.

Pihak berkenaan mahu menyekat jualan serta penggunaan alkohol di samping papan tanda dan iklan minuman keras.

Sesetengah pihak berpendapat perintah Mahkamah Agung itu sebagai melampau tetapi hakim bertegas dengan keputusan yang dibuat.

Mereka berpandangan pengharaman itu amat perlu untuk menyelamatkan nyawa manusia yang terkorban akibat memandu dalam keadaan mabuk.