Kadar hemoglobin rendah, tak boleh derma darah

Kadar hemoglobin rendah, tak boleh derma darah

Kadar kiraan hemoglobin yang normal ialah 14 hingga 18g/dl untuk lelaki dewasa dan 12 hingga 16 g/dl untuk wanita dewasa.

blood
Minggu lepas, hasrat menderma darah buat pertama kali ditolak selepas klinik mendapati tahap hemoglobin dalam darah amat rendah.

Menurut jururawat kanan yang bertugas, hemoglobin merupakan elemen penting dalam darah merah. Ia sejenis protein yang kaya dengan zat besi dan berfungsi membawa oksigen ke seluruh badan.

“Seseorang harus mengekalkan tahap hemoglobin dalam darah anda untuk badan berfungsi dengan betul. Kadar kiraannya ialah 14 hingga 18 gram per desiliter (g/dl) untuk lelaki dewasa dan 12 hingga 16 g/dl untuk wanita dewasa,” kata beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Anisah.

Hmm… patutlah, pada kadar hemoglobin hanya 10 g/dl tambah pula tekanan darah juga rendah, niat menderma tak dapat dicapai.

Biasanya simptom kekurangan hemoglobin rendah agak ketara, antaranya kelemahan, keletihan, sakit kepala, sesak nafas, pening, kurang selera makan dan denyutan jantung yang cepat. Bagi keadaan yang parah, pesakit didiagnosis sebagai anemik.

Memandangkan jururawat yang sama berkongsi maklumat secara santai mengenai ramai anak muda menghadapi masalah kekurangan hemoglobin terutamanya ibu hamil, FMT Ohsem ingin berkongsi beberapa tip meningkatkan hemoglobin dalam sel darah merah.

6 cara meningkatkan hemoglobin

1. Makan makanan kaya sumber besi

Kekurangan zat besi punca paling umum tahap hemoglobin rendah. Makanan yang kaya dengan zat besi termasuk sayur-sayuran berdaun hijau seperti bayam, ubi bit, tauhu, asparagus, hati ayam, keseluruhan telur, tiram, epal, buah delima, aprikot, tembikai, prun, biji labu, kurma, badam dan kismis.

2. Meningkatkan pengambilan Vitamin C

Rupanya Vitamin C juga sama penting kerana ia adalah molekul pembawa yang digunakan untuk penyerapan sumber besi yang lebih baik. Makan makanan yang kaya dengan vitamin C seperti oren, lemon, strawberi, betik, paprika, brokoli, anggur dan tomato.

3. Meningkatkan pengambilan asid folik

Lazimnya ibu hamil disaran mengambil ubat asid folik. Ini kerana asid folik, vitamin B-kompleks diperlukan untuk menjana sel-sel darah merah. Makanan yang yang kaya asid folik adalah sayur-sayuran berdaun hijau, pucuk, kacang kering, germa gandum, kacang, pisang, brokoli dan hati ayam. Ubi bit juga disyorkan untuk meningkatkan sel darah merah kerana ia tinggi zat besi serta asid folik, kalium dan serat.

4. Buah delima dan epal

Pengambilan epal setiap hari membantu mengekalkan tahap hemoglobin yang normal, kerana epal kaya dengan zat besi serta komponen kesihatan yang lain. Tambah halia atau jus lemon untuk rasa tambahan. Di samping itu, delima juga kaya dengan zat besi, kalsium, serat dan protein.

5. Elak makanan dan minuman yang menghalang penyerapan sumber besi

Okay, berita kurang baik adalah, terdapat makanan dan minuman yang menghalang keupayaan badan menyerap zat besi, terutamanya jika anda mempunyai hemoglobin yang rendah. Ini termasuklah minuman kopi, teh, minuman cola, wain dan bir. Jadi buang jauh-jauh paket kopi dan teh segera itu.

6. Bersenam

Tahukah anda, senaman sederhana dan aktif sangat disyorkan bagi mereka yang kurang hemoglobin? Ini kerana senaman membolehkan badan menghasilkan lebih banyak hemoglobin. Tapi bagaimana? Senaman menyebabkab tubhuh memerlukan bekalan oksigen yang banyak, memaksa ia menghasilkan lebih banyak hemoglobin. Apa tunggu lagi, jom turun padang!

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.