Pulau Legenda, Langkawi terus kekal unik

Pulau Legenda, Langkawi terus kekal unik

Langkawi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan antarabangsa terkemuka, dalam pada masa sama menjaga ekologi dan alam semulajadinya

langkawi-pulau-malaysia-kedah

Sebut sahaja pulau legenda, pasti ramai yang terbayangkan Langkawi, destinasi pelancongan unik yang berbeza daripada pulau yang lain.

Sehari di Langkawi memang tidak mencukupi kerana terlalu banyak tempat menarik yang perlu dikunjungi, menjadikan pelancong sentiasa sibuk untuk beberapa hari. Bersantai sambil menikmati keindahan pantai adalah antara cara mengisi percutian, namun akan lebih menarik sekiranya anda meluangkan masa untuk meneroka pulau syurga tropika itu, yang pastinya memberikan pengalaman indah dan tidak dapat dilupakan.

Penulis mengunjungi Langkawi untuk kali kedua kira-kira 2 bulan lepas, setelah bertahun-tahun lamanya sejak pertama kali menjejakkan kaki ke Langkawi. Dalam tempoh itu, saya beberapa kali mengunjungi Malaysia tetapi tidak berkesempatan untuk pergi ke Langkawi.

Pulau berkenaan memang terkenal di luar negara sebagai destinasi bagi pasangan pengantin – semestinya percutian bulan madu. Itulah tanggapan pertama saya. Pantai-pantai yang mengagumkan, suasana yang tenang, infrastruktur serba moden dan pelbagai kemudahan akses – menjanjikan pengalaman percutian menakjubkan.

Mungkin masih ramai tidak sedar, Langkawi juga destinasi yang sesuai bagi seisi keluarga termasuk kanak-kanak. Sama ada untuk percutian romantis atau sekadar ‘makan angin’, pulau ini dapat memenuhi impian percutian sesiapa sahaja.

Malaysia membangunkan Langkawi sebagai destinasi pelancongan antarabangsa terkemuka, namun pada masa sama masih menjaga ekologi dan alam semulajadinya. Langkawi memang sesuai bagi mereka yang ingin menikmati keindahan pantai dan keenakan makanannya, lebih daripada itu, pelbagai kemudahan pelancongan lain menjadikannya satu destinasi percutian keluarga yang ideal sepanjang tahun. Terdapat banyak pilihan di pulau berkenaan termasuk kemudahan penginapan, beli-belah (pulau bebas cukai selama 3 dekad) dan pelbagai makanan.

Kawasan sekitar Dataran Lang, yang menjadi mercu tanda pulau itu, dibangunkan dengan indah dan sentiasa menantikan kunjungan pelancong. Patung burung helang gergasi di situ tidak lagi kelihatan terbiar seperti mana beberapa tahun lepas, sekali gus menarik lebih ramai pengunjung ke situ. Tempat di sesiaran pantai memang mengagumkan dan sentiasa menjadi tumpuan pelancong. Terminal utama feri, atau Jeti Kuah, dan kedai-kedai bebas cukainya pula menambah tarikan ke situ.

Semasa cuti persekolahan di negara itu, permintaan untuk bilik hotel, terutamanya bagi pusat-pusat peranginan di tepi pantai, meningkat secara mendadak. Selain itu, anda juga mungkin terpaksa berebut-rebut mendapatkan tiket perkhidmatan feri atau sukar mendapatkan penerbangan ke pulau itu. Pada waktu sedemikian, Langkawi mungkin tidak sedamai hari-hari biasa. Bagaimanapun, rata-rata orang ramai masih tenang tanpa mengira betapa sibuknya sesuatu tempat itu.

Para pengunjung pastinya berpeluang mempelajari sedikit sebanyak mengenai mitos dan legenda berkaitan Langkawi. Legenda paling popular yang sering diperkatakan oleh penulis-penulis pelancongan adalah Mahsuri, seorang gadis cantik yang difitnah bermukah dan dijatuhi hukuman mati. Menurut cerita rakyat tempatan, darah putih keluar dari tubuhnya apabila dia dihukum bunuh, bukti dia tidak bersalah.

Satu lagi mitos adalah mengenai pari-pari yang jatuh cinta dengan keindahan Air Terjun Telaga Tujuh dan memilih untuk terus tinggal di tempat berkenaan. Keindahan semulajadi Langkawi dilengkapi pula dengan pelbagai kemudahan serba moden. Mungkin hari ini anda ingin berbelanja sepuasnya di pusat membeli-belah manakala keesokan harinya pula ingin berada di puncak tertinggi Gunung Raya untuk melihat pelbagai hidupan liar seperti monyet daun, flying fox dan burung enggang.

Kepelbagaian alam semulajadi pulau itu menjadikannya habitat bagi ratusan spesis burung, pelbagai haiwan dan hidupan laut. Beberapa tarikan utama Langkawi termasuk Kereta Kabel, Sky Bridge, pelayaran ke pulau-pulau, Underwater World, menelusuri paya bakau dan Galeria Perdana.

Operator pelancongan selalunya akan memberikan senarai panjang pelbagai aktiviti dan tempat-tempat menarik. Jika dihitung, pastinya anda memerlukan berminggu-minggu untuk mengunjungi kesemuanya. Sejujurnya, saya hanya sempat mengunjungi sebahagian kecil pulau itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.