Pulau buatan tambah nilai kepada Pulau Langkawi

langkawi-1
Paradise 101 di Langkawi menyediakan pelbagai kemudahan pelancongan membabitkan aktiviti air. (Facebook Naam Adventure)

fmt-ohsem-inside-article1

Langkawi, yang mempunyai 99 buah pulau, tersohor sebagai pulau legenda dan sering menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara yang mahu menikmati keindahan semula jadi, kini mempunyai satu lagi tarikan iaitu Paradise 101.

Pulau buatan manusia ini yang “muncul” pada 2015 ialah hasil impian Datuk Dr Ravi Ponniah, seorang doktor perubatan yang bertukar menjadi usahawan pelancongan.

Paradise 101 yang terletak di Teluk Burau, ke barat laut Pulau Langkawi bukan seperti Pulau Rebak atau Pulau Dayang Bunting yang menyimpan pelbagai kisah legenda.

“Bagi saya apa yang ada di Paradise 101 tidak ada di mana-mana di dunia. Pulau ini tak sama dengan mana-mana tempat, ia adalah satu-satunya yang ada di dunia,“ beliau memberitahu Bernama dalam satu wawancara baru-baru ini.

Beliau yang juga presiden Naam, syarikat bertaraf dunia khusus untuk sukan air berkata Paradise 101 menawarkan pengalaman yang menyeronokkan untuk pelancong yang berkunjung ke pulau itu .

Bagaimanapun, buat masa ini belum terdapat kemudahan yang mencukupi untuk membolehkan pengunjung bermalam di pulau peranginan ini.

Langkawi, cinta pandang pertama

Dilahirkan di Melaka dan kini menetap di England, Dr Ravi jatuh cinta dengan pulau legenda itu sejak pertama kali menjejakkan kaki ke Langkawi pada 2012.

Beliau begitu terpaut dengan keindahan semula jadinya dan mula berfikir apa yang beliau boleh lakukan di pulau ini.

Meskipun sudah mempunyai beberapa perniagaan di United Kingdom, beliau melihat potensi mewujudkan perniagaan untuk aktiviti sukan air dan senggang di Langkawi meskipun industri pelancongan di pulau ini sudah lama bertapak.

Dengan impian itu, beliau menubuhkan Naam Sdn Bhd dan membawa pasukan pakar marinnya serta mengambil kira-kira 30 pekerja tempatan untuk memulakan operasi perniagaan. Beliau turut membawa sekumpulan 250 buah bot serta jetski yang dibeli daripada beberapa buah negara.

langkawi-2
Sukan jetski antara tarikan Paradise 101 dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara. (Facebook Naam Adventure)

Apabila ditanya mengenai nilai pelaburannya, Dr Ravi berkata: “Kira-kira AS$150 juta. Kami kini mempunyai jumlah jetski dan bot terbanyak di Langkawi.”

Bukan sahaja semua kemudahan yang disediakan paling canggih daripada segi teknologi serta ciri keselamatan, beliau memberitahu Bernama, operasi syarikatnya juga mematuhi peraturan yang dikuatkuasakan oleh pelbagai agensi kerajaan.

Tumpuan beralih ke laut

Apabila perniagaannya menunjukkan prestasi yang membanggakan pada 3 tahun pertama, Dr Ravi mula membuat rancangan untuk membolehkan Naam mengembangkan produk pelancongannya dan tumpuannya beralih kepada laut di Langkawi.

Selepas mendengar cubaan seorang usahawan untuk membina pulau persendiriannya di Langkawi, beliau mula terfikir untuk membuat pulau peranginannya sendiri yang seiring dengan keindahan semula jadi pulau ini.

Dr Ravi dan pasukannya bekerja keras untuk mendapatkan kelulusan pihak berkuasa berkenaan untuk menjadikan impiannya satu kenyataan. Kerja-kerja membina pulau impiannya itu daripada sifar bermula pada Oktober 2015.

Dalam tempoh 11 bulan, pulau kecil seluas kira-kira satu hektar mula terbentuk dan ini diikuti dengan kerja-kerja landskap serta pembinaan kemudahan rekreasi.

Naam membelanjakan sekitar RM90 juta untuk projek pulau ini yang kemudiannya diberi nama Paradise 101 selepas 99 buah pulau yang sudah wujud di Langkawi serta sebuah lagi, pulau persendirian.

Paradise 101 meniti kejayaan

Sejak dibuka kepada pengunjung dan hasil daripada usaha promosi yang berterusan, Paradise 101 semakin terkenal dalam kalangan pelancong dan menjadi satu lagi tarikan di Langkawi.

Dr Ravi yang menyifatkan projek yang dilaksanakannya itu satu lagi kejayaannya dalam bidang pelancongan mengucapkan terima kasih kepada pelancong yang berkunjung ke Paradise 101 dan memuji perkhidmatan yang disediakan.

“Setiap orang yang datang ke pulau ini akan menikmati keindahan serta perkhidmatan yang disediakan dengan cara mereka yang tersendiri.

“Malah ada pasangan yang datang ke pulau ini untuk berbulan madu akan kembali lagi ke Paradise 101 untuk percutian mereka, “ katanya.

Beliau berkata usaha kerajaan untuk menambah lebih banyak penerbangan terus ke Langkawi dari negara lain akan memberi manfaat kepada Paradise 101 dan produk pelancongan lain.

“Saya lihat penduduk tempatan yang bekerja dengan kami juga menikmati hasil daripada pelaburan yang kami buat. Mereka juga banyak belajar kemahiran kerja dan ternyata cekap mengendalikan pelancong yang berkunjung ke Paradise 101, “ kata Dr Ravi yang berjaya menambah satu lagi tarikan di peta pelancongan Langkawi.