Tak salah bercakap mengenai seks dengan anak

Tak salah bercakap mengenai seks dengan anak

Kanak-kanak masa kini terdedah kepada unsur berkaitan seks dari pelbagai faktor luar, seeloknya ibu bapa membekalkan mereka dengan ilmu yang selamat.

Free Malaysia Today
Ibu bapa sumber paling dipercayai bagi anak-anak.

Anak perempuan saya baru berusia 10 tahun tetapi sudah mula bertanya dan menyoal mengenai proses kelahiran anak, haid serta mahu tahu secara lanjut mengenai alat kelamin yang berbeza antara lelaki dan perempuan. Apakah saya sebagai ibu atau bapa bersedia bercakap mengenai semua ini, atau seks secara umum?

Seks masih dilihat sebagai subjek takut untuk dibincangkan, tetapi sudah tiba masanya untuk mendidik anak-anak bermula seawal usia 6 tahun. Namun, ia tidak bermakna anda kena terangkan segala-galanya kerana proses “sex talk” harus berlaku secara berperingkat mengikut usia dan kematangan anak untuk menerima initipati dikongsi.

Kanak-kanak sememangnya tidak terlepas daripada didedahkan kepada subjek berkaitan seks di usia muda, ia termasuk filem, internet, gambar, perlakuan yang berlaku di hadapan mata dan perkongsian di media sosial. Jadi, lebih baik anda memberi penjelasan terlebih dahulu daripada kanak-kanak meneroka sendiri dari sumber kurang selamat.

FMT Ohsem melayari beberapa portal keibubapaan dan mendapati subjek seks digalakkan dan harus bermula daripada ibu bapa kerana ia menjadi tanggungjawab anda.

Jangan guna ‘tidak’, ‘jangan’…

Mereka sebenarnya tidak terlalu berminat untuk memberi perhatian atau tidak mempercayakan anda kecuali mereka dengar anda menggunakan perkataan, “jangan” atau “tidak”. Khususnya bagi kanak-kanak meningkat remaja, elakkan guna perkataan tersebut kerana ia mungkin meningkatkan keinginan dan kemahuan mencuba. Sebaliknya, tunjuk ajar mengenai fakta dan sains di sebaliknya, hubungan seksual yang sihat dan selamat, bagaimana perubahan hormon atau perubahan seksual dalam diri dan cara mengendalikannya. Ajar mereka cara berkawan dan kawal diri. Tidak ketingggalan, menghormati orientasi seksual seseorang tanpa menjadikannya isu.

Bercakap benar, elak mitos atau khabar angin

Sekiranya anak anda bertanya sesuatu, berkaitan seks, seeloknya bercakap benar. Elak memberi fakta salah, apatah lagi menyuntik elemen mitos. Gunakan bahasa betul dan penjelasan yang mudah difahami mengikut usia dan kematangan anak anda. Jangan sesekali bercakap rendah atau menyifatkan seks sebagai sesuatu yang kotor atau hina.

Rujuk media, input positif mahupun negatif

Tidak salah bercakap mengenai sesuatu isu berkaitan seks yang tular di media massa kerana lazimnya ia akan menjadi bahan tarikan anak remaja. Elak sebarang unsur yang menghakimi secara melulu, tetapi cuba menganalisis bersama anak anda. Ia akan memberi anda peluang mengenali pandangan anak anda mengenai sesuatu isu berkaitan seks.

Tunjukkan contoh baik

Kalau mahu anak anda bebas daripada masalah hubungan, seksual dan keganasan, jadilah contoh yang baik terlebih dahulu. Tunjukkan hubungan baik anda bersama pasangan di hadapan anak, tidak salah untuk bermesra dengan suami di hadapan anak, cuma ketahui hadnya. Biar anak anda tahu cinta itu hebat apatah lagi diluahkan dalam hubungan yang direstui.

Kongsi hak, tanggungjawab dan nilai seks

Seks mungkin dilihat sebagai gaya hidup remaja masa kini. Ia berpunca daripada kegagalan kita mendidik secara berhemah. Jadi, anda sebagai ibu bapa kena pastikan anak anda maklum mengenainya. Mulakan dengan perkara paling asas. Misalnya, bagi kanak-kanak kecil, beritahu mereka mengenai hak menjaga diri, dengan melarang sesiapa menyentuh atau bercakap mengenai alat kelamin mereka. Perkara ini boleh dikembangkan mengikut usia termasuk hak untuk menolak atau mengatakan tidak dan berkongsi jika anak anda berasa tidak selesa dengan seseorang.

Wujudkan sesi perbualan dan elak terlebih kongsi

Anda selaku ibu atau bapa harus mencari masa dan waktu sesuai untuk bercakap mengenai seks. Jangan letakkan mereka dalam situasi tidak selesa kerana boleh menghalang sesuatu perkongsian. Ibu bapa pula tidak sepatutnya berkongsi secara berlebihan. Ingat, ini masanya untuk mereka berkongsi dan mendapat penjelasan, biarkan mereka memberi pendapat. Yang penting jangan menafikan atau bertindak aktif dengan pandangan mereka, sebaliknya cuba hadam dan atasi percanggahan secara bijak.

Bercakap mengenai seks tidak bermakna anda setuju dengan perbuatan melibatkan tindakan atau perasaan seks. Anda cuma mahu memberi ilmu terlebih dahulu, kerana ibu bapa adalah insan paling dipercayai anak. Anda hanya membantu mereka memahami seks dan menyatakan keterbukaan anda untuk sedia menerima perkongsian mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.