Bukan rendang ‘crispy’ sahaja pernah cetus kontroversi

Bukan rendang ‘crispy’ sahaja pernah cetus kontroversi

Isu membabitkan makanan membuatkan semua orang sensitif dan tampil demi memperjuangkan hak dan pemilikan masing-masing.

Makanan selalunya menyatukan tetapi jangan terkejut jika ia juga boleh memisahkan dan menyebabkan perselisihan yang membawa kesan mendalam di peringkat kebangsaan.

Isu membabitkan makanan membuatkan semua orang sensitif dan tampil demi memperjuangkan hak dan pemilikan masing-masing.

Semalam negara digempar dengan kritikan ayam rendang rangup oleh 2 chef terkemuka rancangan MasterChef UK, bagaimanapun insiden membabitkan sensitiviti makanan bukanlah baru.

FMT Ohsem menyenarai beberapa kejadian membabitkan isu makanan yang pernah menjadi muka depan akhbar dan berita utama portal, atau sekurang-kurangnya didebat hebat di laman sosial.

1. Popiah milik siapa?

Pada 2015, satu protes dilakukan di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bagi menegaskan kuih popiah atau dikenali lunpia di Indonesia, adalah milik Indonesia. Malaysia diminta tidak membuat sebarang tuntutan terhadapnya. Protes itu dikenali ”Save Lunpia” anjuran Forum Masyarakat Peduli Budaya Indonesia (Formasbudi). Kata wakilnya, kerajaan Indonesia perlu mengambil langkah supaya popiah dimiliki Malaysia dan menjadikannya warisan budaya nasional Indonesia. Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia pada 17 Oktober 2014 sudah pun menetapkan popiah sebagai warisan budaya nasional.

Free Malaysia Today
Komen Twitter pemain bola sepak England Rio Ferdinand mengenai nasi goreng yang mengundang perselisihan antara Malaysia, Singgapura dan Indonesia.

2. Bila nasi goreng jadi makanan Singapura

Dua tahun lalu, pemain bola sepak England Rio Ferdinand memuatnaik gambar nasi goreng yang dikatakannya makanan berasal dari Singapura. Apa lagi, penduduk Indonesia mula yang mendakwa ia makanan milik rakyat negara itu, tidak ketinggalan rakyat Malaysia yang turut mahu menunjukkan pemilikan terhadap makanan itu.
Ferdinand ketika itu berada di Singapura untuk menyaksikan perlumbaan Formula 1. Satu muatnaik Twitter mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan netizen di Singapura dan Malaysia yang mengakui makanan itu boleh didapati di kebanyakan negara di rantau ini, bukan sahaja di Indonesia.

3. Kek pandan terbaik di Singapura

Tahun lepas, kek pandan menjadi bahan kontroversi selepas CNN menamakan ia salah satu daripada 17 kek terbaik di dunia. Isunya ialah apabila ia menamakan 2 kafe di Singapura sebagai kedai kek pandan terbaik sekali gus menggelarkannya sebagai kek kebangsaan negara Singapura. Walaupun rakyat Malaysia tidak begitu kisah dengan pengiktirafan yang turut menamakan Indonesia sebagai pembuat kek lapis terbaik dunia, cuma segelintir netizen terkecewa dengan mengakui ia berasal dari Melaka.

4. Cendol lebih dihargai di Malaysia

CNN International menyenaraikan cendol antara 50 minuman terlazat di dunia, termasuk menamanakan Malaysia sebagai negara asalnya. Apa lagi, beberapa pihak pun mulalah buat bising termasuk mengakui minuman itu berasal dari Indonesia. Ia dikatakan berasal dari Indoensia dan tersebar di Asia Tenggara kerana ekologi kawasan yang mirip dengan Indonesia. Perkara itu juga menjadi isu kebangsaan apabila pemilik gerai minuman ”Radja Cendol”, Danu Sofwan di Indonesia mahu didaftarkan sebagai warisan budaya dari Indonesia. Bagaimanapun, Danu akui cendol lebih dihargai di Malaysia berbanding di Indonesia.

5. Sate Malaysia tapi berasal dari Indonesia

Bagaimana dengan sate, adakah ia milik Malaysia? Satu lagi makanan yang dikatakan dituntut Malaysia tetapi milik Indoensia yang turut mempatenkannya sebagai makanan tradisional dalam senarai Unesco. Asal-usul memang mengesahkan ia berasal dari Indonesia tetapi Malaysia mempunyai beberapa lokasi sate ”asli” yang sememangnya terbaik.

Selain salah faham dengan Indonesia dan negara jiran, dalam beberapa kes terpencil, kita juga berdepan isu pemilikan makanan dalam negara. Lazimnya ia tidak menjadi berita besar, sekadar dibincangkan di laman sosial.

Free Malaysia Today
Tindakan kafe yang tersilap meletakkan label ‘kuih Melayu’ pada vadai menjadi isu dalam kalangan pengguna laman sosial.

Vadai, kuih peneram (denderam), maruku (muruku), roti canai (prata), putu mayam dan sebagainya antara makanan berasal dari India atau Asia Selatan yang menjadi kontroversi selepas dituntut sebagai ”kuih atau makanan Melayu”.

Manakala makanan seperti Yong Tau Foo, pau, cha koi dan sebagainya juga berdepan situasi sama sehinggakan menjadi isu bermusim dalam kalangan netizen.

Kita semua harus faham proses asimilasi yang menyebabkan perlanggaran budaya dan bangsa dalam kalangan masyarakat Asia khususnya Nusantara sehingga makanannya juga turut bercampur dengan citarasa tempatan.

 

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.