
Tiap kali menatap perkongsian gambar percutian rakan dan kenalan di laman sosial pastinya membangkitkan keterujaan untuk melancong.
Apatah lagi gambar itu menunjukkan latar semula jadi mahupun konkrit di luar negara, mungkin kemampuan dari segi kewangan menjadi penghalang terbesar. Bukan itu sahaja, rancangan melancong ke luar negara tidak boleh dilakukan dalam tempoh sehari 2, malah perlukan cuti yang lebih panjang dan prosedur yang lebih rumit.
Bagi mereka yang ingin melancong tetapi dalam bajet dan masa terhad tanpa banyak karenah, FMT Ohsem senaraikan beberapa lokasi tempatan yang berbaloi.
Mengapa berbaloi? Kerana anda masih boleh miliki “feeling” (perasaan) sama seperti melancong di luar negara tetapi masih bertapak di bumi Malaysia yang mana lebih menjimatkan. Mari kita lihat 6 lokasi tersebut.

1. Pantai Sasaran Kuala Selangor
Hanya sejam perjalanan dari pusat bandar Kuala Lumpur, dan 30 minit perjalanan bot dari jeti Sg Buluh, Jeram, Pantai Sasaran di Kuala Selangor mempunyai tarikan tersendiri. Digelar sebagai “Mirror in the Sky”, rata-rata kunjungan ke pantai itu berlaku pada 2 musim sahaja, bulan mengambang atau bulan muda.
Pantai dengan jolokan “Salar de Uyuni Malaysia” yang merupakan sebuah pantai garam di Bolivia, Sasaran menjadi pilihan pengunjung untuk bergambar kerana refleksinya antara latar awan dan pantai.
Fenomena ini terjadi apabila air di kawasan pantai ini surut, kedudukan pengunjung adalah di dasar laut dengan permukaan yang sungguh luas. Maka sewaktu air menipis ia memberikan refleksi kepada objek yang berada di atasnya sama seperti cermin.

2. Little New Zealand of Sabah
Dikenali sebagai Little New Zealand of Sabah, Kundasang di daerah Ranau menjadi lokasi yang semakin popular di Malaysia sejak beberapa tahun yang lalu.
Sekali bergambar berlatarkan gunung dan di ladang ternakan lembu, memang sah buat anda merasa seperti berada dalam iklan susu seperti ladang ternakan lembu yang menghijau di New Zealand.
Selain menghargai pemandangan hijau, jangan lupa nikmati produk tenusu yang dibuat segar seperti susu segar, gelato, aiskrim, puding, dadih dan keju yang dijual pada harga berpatutan oleh operator ladang terbabit.

3. Colmar Tropicale, Bukit Tinggi, Pahang
Berlatarkan bangunan ala istana kota Eropah, persekitaran di pusat peranginan Colmar Tropicale, Bukit Tinggi di Pahang satu lagi lokasi “mewah” yang berbaloi untuk dikunjungi. Memberi peluang untuk anda lupakan sebentar iklim tropika dan menikmati cuaca yang lebih sejuk serta nyaman, dikelilingi hutan belantara, semuanya dalam jarak sejam dari Kuala Lumpur.

4. Kampung Jepun, Bukit Tinggi, Pahang
Perkampungan Jepun yang terletak di puncak Bukit Tinggi, Pahang mempunyai tarikan tersendiri bagi mereka yang mengimpikan melawat negara matahari terbit.
Walaupun tidak memberi pengalaman lengkap, sekurang-kurangnya ia masih memberi sentuhan yang cukup memuaskan. Rumah Teh Jepun di dalam persekitaran hutan tropika di sepanjang laluan berbatu yang tersusun kemas direka sendiri arkitek terkemuka negara berkenaan, Kaio Ariizumi.
Ia dikelilingi deruan nyaman air terjun mini, kolam yang penuh dengan ikan koi, spa berkonsepkan Jepun serta peluang berfotografi memakai kimono dan selipar Jepun di Rumah Teh yang disewakan kepada pengunjung.
Tidak ketinggalan, mandian “onsen” iaitu mandian air panas pada suhu air 36 hingga 38 darjah celsius dikelilingi suasana hutan selain peluang menikmati makanan Jepun di restoran di lokasi itu.

5. Taman Negara Bako, Kuching, Sarawak
Taman Negara Bako yang terletak 37 km dari Kuching, Sarawak ini disamakan dengan Pantai Piha di New Zealand. Tapi kalau lihat keseluruhan, macam Krabi pun ada, Bali pun ada, malah beberapa laluan menawarkan pelbagai pengalaman yang unik dan berbaloi kepada wang ringgit anda.
Menariknya mengenai taman negara ini ialah aktiviti “trekking” yang menawarkan 16 laluan. Anda boleh pilih laluan yang paling sesuai dengan stamina dan kemampuan fizikal anda selain di mana (lokasi) anda mahu berakhir.

6. Pavilion Morocco, Putrajaya
Bagi mereka yang belum pernah mendedahkan diri dengan budaya, seni dan arkitek Timur Tengah, anda patut bertandang ke Pavilion Morocco di Putrajaya.
Memberikan pengalaman merasai sendiri seni bina dan kekayaan ukiran Morocco, Taman Botani di Putrajaya mengagihkan kawasan tertentu dengan pelbagai corak dan ukiran yang menawarkan satu pendekatan baharu.
Seni bina yang unik dan terkenal di Maghribi dan Sepanyol, dipercayai pertama seumpamanya di rantau Asia Tenggara ini menggunakan 80 tenaga kerja didatangkan khas dari Morocco.
Antaranya, gerbang besar di Public Zone dengan kayu diukir indah serta seni taman Islam berkonsep Charbagh yang diamalkan kerajaan Parsi pada zaman Achaemenid. Turut diangkat sebagai lokasi paling unik untuk bergambar oleh pengunjung di laman sosial.