Nasib tapir tidak terbela, jadi mangsa kemalangan

Tarikh 27 April setiap tahun diraikan sebagai Hari Tapir Sedunia untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan haiwan ini dijaga di samping meningkatkan usaha pemuliharaannya.

Semenanjung Malaysia dan beberapa negara di Asia Tenggara termasuk Thailand dan Sumatera dikenal pasti sebagai habitat tapir spesis Tapir Malaya atau Tapirus indicus.

Tiga lagi spesies tapir iaitu Tapir Gunung (Tapirus pichaque), Tapir Tanah Rendah (Tapirus terrestris) dan Tapir Baird (Tapirus bairdii) banyak ditemui di kawasan hutan di Amerika Syarikat.

Pengecilan hutan untuk pembangunan, membina jalan raya, penempatan dan aktiviti pertanian menjadi ancaman utama habitat tapir yang turut dikenali dengan nama tenuk, cipan dan badak kampung.

Menurut rekod data Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), kini hanya terdapat sekitar 1,000 hingga 1,500 ekor tapir di Semenanjung Malaysia.

Mangsa kemalangan

Antara punca bilangan tapir semakin mengecil di negara ini ialah akibat menjadi mangsa kemalangan jalan raya!

Mutakhir banyak laporan media berhubung kes hidupan liar ini mati dilanggar dan keadaan ini memberi isyarat yang jelas antara ancaman yang boleh menjejaskan bilangan populasinya.

Lazimnya, kemalangan melibatkan tapir berlaku pada waktu malam hingga awal pagi ketika haiwan itu mencuba untuk melintas jalan dari satu tempat ke satu tempat untuk mencari makan atau mencari habitat yang lebih sesuai.

Sehingga Mac 2018, 3 kes kematian tapir direkodkan. Pada 2017, sebanyak 22 ekor tapir menjadi korban di jalan raya. Jumlah itu meningkat sekali ganda berbanding 2016 dengan 10 kematian tapir akibat kemalangan.

Untuk rekod, dalam tempoh 7 tahun dari 2010 hingga 2017, 73 ekor tapir maut akibat dilanggar, melibatkan 61 jaringan jalan raya dan lebuh raya di Semenanjung Malaysia yang pernah mencatatkan berlakunya kes langgar haiwan.

Lima laluan dikenal pasti kerap berlaku kemalangan melibatkan hidupan liar iaitu Jalan Kuala LIpis-Gua Musang, Jalan Kulai-Kota Tinggi, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dan Jalan Taiping-Selama.

Antara negeri yang mencatat kemalangan tapir paling tinggi ialah Terengganu terutama di LPT2 iaitu 28 kes untuk tempoh 7 tahun itu. Ini diikuti Pahang 20 kes, Johor 11 kes, Negeri Sembilan 7 kes, Selangor, 5 kes dan Kelantan juga 5 kes.

Sebanyak 144 kawasan panas dikenal pasti sebagai jalan raya yang sering dilalui haiwan liar termasuk tapir. Laluan itu kebanyakannya merentasi hutan di Selangor, Kedah, Negeri Sembilan, Perak, Johor, Kelantan, Pahang dan Terengganu.

Letak papan tanda amaran

Hutan adalah habitat alamiah tapir tetapi kawasan ini menjadi semakin mengecil akibat pembangunan jalan raya atau rumah kediaman sehinggakan banyak tapir yang tersisih daripada kumpulannya.

Hidupan liar ini yang aktif pada waktu malam biasanya akan bergerak pada lewat petang hingga awal pagi di kawasan keliaran yang menjadi tempat habitatnya termasuk mencari makan.

Menurut Muhamad Bokhari Fadzin, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Konservasi Biodiversiti (Tapir) Perhilitan, pembinaan jalan raya atau lebuh raya sering mengakibatkan kawasan keliaran tapir “terputus 2”.

Keadaan itu, jelas beliau membuatkan haiwan itu sering dilihat melintasi laluan berkenaan jalan raya kerana itu adalah kawasan habitanynya.

Faktor fizikal tapir yang berwarna hitam dengan tompokan putih pada badannya menyukarkan pandangan pemandu terutama dalam suasana gelap dan berkabus.

“Biasanya pemandu sendiri kurang kesedaran untuk memperlahankan kenderaan ketika melalui lokasi yang sering menjadi laluan hidupan liar termasuk tapir.

“Ini menjadi salah satu punca kerap berlaku kemalangan termasuk yang melibatkan tapir sejak kebelakangan ini, ” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Kecuaian itu boleh dielakkan sekiranya pemandu memperlahankan kenderaan kerana Perhilitan dengan kerjasama Jabatan Kerjaya Raya (JKR) sudah memasang tanda amaran di semua “lokasi panas” yang menjadi laluan hidupan liar di seluruh negara.

Sementara itu, laluan di daerah Mersing, Johor terutama di Hutan Simpan Mersing dan Hutan Simpan Lenggor yang sering dilalui tapir turut diletakkan “lampu kuning jingga” serta “bonggol”.

“Sebelum nak pasang papan tanda dan lampu, kita buat tinjauan haiwan mana yang kerap lalu di kawasan tersebut. Tujuannya untuk pengguna jalan raya lebih peka dan berhati-hati bagi mengelakkan melanggar hidupan liar yang melalui kawasan tersebut,” katanya.

Banyak di Negeri Sembilan

Kawasan hutan simpan sekitar Negeri Sembilan antara habitat penting tapir yang banyak ditemui dalam tinjauan populasi dan taburan tapir yang dilakukan Perhilitan.

Lokasi habitat tapir yang ditemui antaranya di Hutan Simpan Kenaboi, Jelebu, Hutan Simpan Ulu Bendul dan Hutan Simpan Senaling Inas.

Di negeri lain adalah seperti di Hutan Simpan Belum, Perak, Taman Negara Pahang, Hutan Simpan Bukit Bauk, Terengganu dan di sekitar di persisiran LPT2.

“Taburan populasi tapir masih terdapat di hutan simpan kekal dan rezab hidupan liar serta pinggiran hutan di Semenanjung Malaysia.

“Perhilitan sentiasa menjalankan tugas penguatkuasaan bagi memastikan populasi tapir stabil walaupun terdedah dengan ancaman menjadi mangsa kemalangan jalan raya dan pemburu haram,” kata Muhamad Bokhari sambil menambah, tapir dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Dalam hal ini, tapir bernasib baik kerana ia bukan menjadi buruan pemburu haram untuk hidangan eksotik atau perubatan.

Ancaman berterusan terhadap tapir selain kadar pembiakan yang perlahan adalah cabaran yang perlu diatasi bagi memastikan populasi tapir tidak terus berkurangan.

Nasib yang menimpa Badak Sumbu Sumatera yang kini pupus dari hutan di Malaysia perlu dijadikan iktibar supaya memastikan tapir juga tidak mengalami nasib yang sama.

Muhammad Bokari memberitahu Bernama, untuk program pemuliharaan tapir, kajian ekologi, kelakuan, pemakanan , pembiakan dan nutrisi tapir perlu dilakukan.

Antara usaha pemuliharaan tapir yang dijalankan Perhilitan ialah menubuhkan Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Selangor.

Perhilitan juga merangka “Pelan Tindakan Konservasi Malayan Tapir” (MATCAP) bagi menjalankan konservasi yang lebih spesifik untuk tempoh 10 tahun dari 2017 hingga 2026.