Calon termuda Parlimen Batu buat video pikat pengundi

Gambar Youtube

Nampaknya calon termuda pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang akan bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Batu, Prabakaran Param tidak mahu ketinggalan dalam berkempen antara gergasi politik lain.

Pemuda 22 tahun itu berkongsi rakaman video di media sosial Facebook miliknya sambil menyampaikan ”janji” pilihan raya kepada pengundi di Batu.

Video 5 minit dan 55 saat itu memaparkan pengenalan diri Prabakaran berlatarkan kawasan Batu selain temuramah dengan orang muda mengenai penglibatan politik dalam kalangan belia.

Ia dimuatnaik di Facebook miliknya pada 29 April, 10.16 malam dan ditonton 6,500 kali dengan 82 perkongsian selain di YouTube pada hari sama.

“Politik bukan bidang pilihan kerjaya golongan muda masa kini. Orang muda haru memilih politik sebagai kerjaya mereka untuk mewujudkan kesedaran politik,” tulisnya di video bertajuk Voice Of The Youth.

Rata-rata penonton menyokong niat dan usaha pelajar jurusan undang-undang itu selaku calon muda selain memuji percubaannya.

Laman Facebook Prabakaran yang diikuti sekitar 378 orang terdapat perkongsian gambar, keratan akhbar dan video berkenaan dirinya di sekitar kawasan Batu.

Klik sini untuk video