Awas lembah durjana media sosial, pesan mangsa

Awas lembah durjana media sosial, pesan mangsa

Dua remaja yang membesar dalam dunia dalam talian kata media sosial pupuk rasa tidak yakin pada diri sendiri dan mendorong seseorang menyamar sebagai orang lain.

handphone
Aktivis dan mangsa berkata media sosial boleh menyebabkan kerosakan psikologi kekal. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Isa Aziz Aznan dan Ashley Guneratne terdedah kepada media sosial pada usia awal. Mereka masih mentah ketika pertama kali meninjau platform tersebut, yang sarat dengan pelbagai bahaya dan kandungan menjijikkan.

Ia memberi mereka akses kepada bahan yang pastinya akan mengerikan ibu bapa dan, lebih buruk lagi, mempengaruhi mereka untuk hidup dalam kepura-puraan.

Merenung zaman kanak-kanak yang mereka habiskan dalam talian, sambil bergelumang dengan risiko, mendasari sebab-sebab Malaysia mengambil langkah menyekat akses media sosial kepada insan bawah usia 16 tahun.

Seperti di atas pentas

Kegiatan Isa, kini berusia 26 tahun, dan Ashley, 25, di media sosial membawa kepada fasa melakonkan watak, termasuk menyamar jantina lain dalam hal Ashley, untuk tujuan-tujuan jelik seperti mengumpan seseorang.

Isa beritahu FMT bahawa kesan paling besar media sosial ke atas dirinya adalah dorongan untuk ‘beraksi’ agar kelihatan menarik dan berjaya, walaupun ini bermakna membesar-besarkan cerita.

“(Dalam situasi sebegini) Awak akhirnya mencipta persona yang memaparkan gaya hidup tertentu. Anda tidak boleh jadi diri sendiri lagi kerana anda tidak mahu dilihat sebagai ‘terlalu biasa’ atau terlalu membosankan,” katanya.

“Jika saya tidak dapat menghayati persona itu, saya akan berasa cemas… Saya akan mengelak daripada bercakap dengan orang lain. Ada tekanan supaya mengekalkan imej tertentu dalam talian,” kenangnya.

Isa menggunakan e-mel bapanya untuk memulakan akaun media sosial, dengan anggapan akaun e-mel orang dewasa akan memberikan perlindungan mencukupi.

“Bagaimanapun, kandungan yang saya terima di luar kawalan,” katanya. Dia ‘dijamu’ dengan kandungan ngeri, keganasan, dan pornografi setiap hari.

Bagi Isa, apa yang bermula sebagai cara untuk seorang kanak-kanak berhubung dengan orang lain segera merasuk hubungannya dengan orang lain.

“Kami tak lagi bersembang tentang perkara lain. Kami tak lagi bercakap tentang TV atau sukan. Semuanya tentang apa yang kami buat di Facebook,” katanya.

Mengimbau zaman itu, dia menyedari bahawa media sosial telah merampas masa yang sepatutnya digunakan untuk mengalami kehidupan sebenar, seperti meluangkan masa bersama rakan-rakan di luar rumah.

Bagi Ashley, kurangnya pengawasan orang dewasa membawanya ke lembah anonimiti yang gelap.

Dia diperkenalkan dengan permainan dalam talian pada usia sembilan tahun, dan dia menghabiskan lima tahun seterusnya mengumpan orang. “Kadang-kadang, saya melakonkan watak lelaki dewasa dalam usia 20-an,” katanya kepada FMT.

“Saya rasa saya melakukannya kerana saya masih kanak-kanak ketika itu dan saya fikir tidak semua orang mahu bercakap dengan kanak-kanak,” kenangnya.

Mengimbau zaman itu, dia menyedari hubungan maya dengan individu yang jauh lebih tua ketika itu suatu bentuk pengantunan. “Ia juga kerana saya tidak memahami apa yang sebenarnya saya lakukan sehinggalah akhirnya terbongkar,” katanya.

Pihak berkuasa memberi amaran bahawa penggunaan media sosial tanpa pengawasan boleh mendedahkan kanak-kanak kepada pemangsa yang mengundang risiko lebih serius, selain membazirkan masa di depan skrin, kesan ke atas harga diri, dan pengaruh identiti dalam talian.

 Luka dalam

Aktivis hak asasi kanak-kanak, James Nayagam, berpandangan bahawa peralihan daripada keberadaan di ruang nyata kepada alam maya sebagai satu masalah yang masih belum dapat ditangani secara berkesan.

Selepas 45 tahun beliau membantu keluarga dan kanak-kanak bermasalah, Nayagam menyaksikan transformasi trauma kanak-kanak secara beransur-ansur.

“Sebelum ini, trauma lazimnya berkaitan dengan kesakitan pada jasmani yang disebabkan oleh perbuatan seperti buli, dan ini boleh ditangani secara fizikal. Sekarang kita berhadapan sesuatu yang sukar dilihat dan tidak menyakiti batang tubuh, namun masih memudaratkan kanak-kanak dan keluarga,” katanya kepada FMT.

Ibu bapa juga harus bertanggungjawab. Nayagam mendedahkan ramai ibu bapa melihat ruang digital seakan taman permainan lalu berlepas tangan daripada memainkan peranan penjaga secara aktif. “Mereka bergantung pada perbualan antara peranti berbanding berbual secara lisan dan interaksi bermakna apabila melibatkan diri dengan anak-anak,” katanya.

“Selagi anak itu buat hal sendiri, ibu bapa berasa lega. Itu juga bermakna mereka tidak lagi berhubungan dengan anak,” tambahnya.

Kekurangan interaksi ini menyebabkan kanak-kanak tidak dapat mengendalikan tekanan yang lazim dihadapi orang dewasa. “Mereka mula mencipta identiti dewasa sedangkan mereka belum cukup matang. Mereka mendapati diri semakin terjerumus sehingga ke tahap tidak dapat berpatah balik.”

Apabila seorang kanak-kanak berusia 13 tahun mula berkelakuan seperti seorang berusia 18 tahun, ia suatu amaran bahawa pendedahan tanpa panduan ibu bapa boleh menanam rasa matang tidak tulen kerana emosi belum bersedia.

Anonimiti dalam dunia penuh bahaya

Bulan lalu, polis merampas 498,694 fail digital dalam serbuan terhadap eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian, menahan 69 orang dan membongkar rangkaian yang melibatkan 171 platform serta kumpulan yang mengedarkan bahan penderaan seksual kanak-kanak, malah ada yang menawarkan akses berbayar.

Nayagam percaya langkah menyekat akses media sosial bagi insan bawah 16 tahun adalah langkah pertama yang perlu diambil untuk melindungi generasi yang berisiko mengalami kerosakan psikologi kekal.

“(Untuk rancangan ini berjaya) ibu bapa perlu meluangkan masa dengan anak-anak. Kembali ke zaman apabila anda mengetepikan segala-galanya untuk duduk bersama dan bercakap dengan anak. Ini akan menanam kesedaran bahawa ibu bapa juga mempunyai tanggungjawab,” kata Nayagam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.