10 calon PRU14 yang kacak menawan

10 calon PRU14 yang kacak menawan

Pilihan di sini bukan hanya terhad kepada 'tall, dark and handsome'.

Free Malaysia Today
Gambar: Facebook , FMT

Tidak dapat dinafikan, dunia politik Malaysia didominasi golongan lelaki. Hampir 90% calon atau lebih tepat 2082 daripada 2333 calon yang bakal bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pilihanraya umum kali ke-14 (PRU14) adalah lelaki.

Maka sukar untuk menyenarai pendek individu yang benar-benar ada tarikan tersendiri, pendek kata kacak serta macho dan tak semestinya “tall, dark and handsome” sahaja.

Syed Saddiq

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan Ketua Armada bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang dicalonkan mewakili kerusi Parlimen Muar untuk PRU14. Bekas Juara Debat Asia dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini mempunyai ijazah undang-undang dan terkenal bukan sahaja kerana penglibatan politik dari usia muda tetapi kerana personalitinya.
Selalu mengajak ahli politik lain berdebat, beliau yang baru berusia 26 tahun ini pernah menjadi tajuk berita kerana menolak tawaran pendidikan Universiti Oxford demi meneruskan penglibatan dalam bidang politik.

Khaliq Mehtab Mohd Ishaq

Sekali pandang memang tak cukup. Khaliq Mehtab Mohd Ishaq merupakan seorang peguam sejak Jun 2001 bersama Azlina Mehtab & Assoc, cawangan Kepala Batas, Pulau Pinang. Beliau menyertai politik pada Oktober 2016 dengan menjadi ahli PPBM. Lelaki yang diangkat sebagai calon paling kacak ini merupakan kacukan daripada ibu berbangsa Cina dan bapa seorang Melayu. Kini beliau mewakili Pakatan Harapan di kerusi Bertam pada PRU14 dan menjadi antara calon popular kerana rupa parasnya.

Zaidy Abdul Talib

Zaidy Abdul Talib adalah exco Selangor di bawah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sejak September 2014. Beliau menang bertanding pada PRU13 di DUN Taman Templer mewakili PAS. Zaidy berasal dari Pondok Lati, Pasir Mas, Kelantan, dibesarkan di daerah Bera, Pahang, berumur 41 tahun. Berkahwin dengan Kasmawati Haron dan dikurniakan 6 orang anak. Beliau juga pemegang ijazah BSc (Fizik) Universiti Malaya 1996.

Adnan Seman

Peguam 42 tahun ini merupakan anak jati Bandar Tun Razak dan juga anak kepada bekas kadi pendaftar nikah Sungai Besi. Beliau yakin menang dengan undi majoriti kerana latar belakang pendidikan agama dan pengaruhnya dalam kalangan pengundi Bandar Tun Razak. Pernah berundur dari politik pada 2012 dan menumpu pada kerjaya guaman tidak menyangka dicalonkan dalam PRU14 menggantikan Datuk Rizalman Datuk Mokhtar yang dicekup dalam satu serbuan kelab malam pada awal bulan lalu. Walaupun dilabel sebagai “bidan terjun”, Adnan yakin dirinya seorang calon berwibawa.

Fahmi Fadzil

Fahmi akui tak menyesal tinggalkan pekerjaannya sebagai seorang jurutera kimia di sebuah syarikat Jepun. Tetapi bukan kerana politik tetapi kerana mahu menceburi bidang teater dan menyertai politik ketika meneroka tema keadilan dan pembaharuan melalui persembahan dan puisi demonstrasi politik. Artis harapan Anugerah Seni Boh Cameron 2006, berpendidikan dalam bidang kejuruteraan kimia dari Amerika Syarikat pada 2001. Fahmi, 36, berkempen untuk PKR di Lembah Pantai sejak 1999 apabila parti itu masih dikenali dengan nama “Parti Keadilan Nasional”. Menyertai PKR sebagai setiausaha politik Nurul Izzah dan ketua penerangan cawangan Lembah Pantai pada 2010.

Shahril Hamdan

Shahril merupakan exco Pemuda Umno Malaysia yang pernah terlibat dalam sektor minyak dan gas. Graduan University of Manchester & London School of Economics ini berdarah kacukan Melayu sebelah ayah dan Cina sebelah ibu. Sudah mendirikan rumah tangga dan bakal menimang cahaya mata pertama pada Julai ini.
Kini dicalonkan mewakili BN bagi kerusi Kuala Langat, Shahril juga merupakan ahli Parlimen Belia Malaysia sekitar 2014 hingga 2016.

Jason Loo

Nama Jason Loo dari parti Gerakan lebih dikenali sejak mempersoalkan projek skandal terowong dasar laut dan 3 lebuh raya di bawah kerajaan Pulau Pinang. Beliau menyertai politik selepas tsunami politik 2008 dan memilih parti Gerakan sebagai salurannya. Katanya ia bagi memastikan “semak dan imbang” pemerintahan kerajaan tempatan dan supaya setiap salah laku dapat dipersoal. Jason antara calon yang sering menerima saman dari kerajaan tempatan dan ketua menteri Pulau Pinang.

Ahmad Muadzam Shah Yaakop

Ahmad Muadzam Shah Yaakop yang berasal dari Kampung Kuantan, Klang merupakan antara calon muda yang dicalonkan oleh Barisan Nasional di kerusi Batu Tiga, Shah Alam.
Dalam satu temuramah, beliau berkata tidak pernah menyangka akan sampai ke tahap ini. Akuinya, ia mungkin kerana sifat semulajadinya sejak kecil di mana banyak terlibat dalam aktiviti masyarakat dan sentiasa bercampur gaul dengan semua orang. Ahmad Muadzam memberi jaminan akan meningkatkan peluang pekerjaan kepada golongan muda di kawasan ditandinginya jika menang pilihanraya.

Caesar Mandela

Calon BN untuk parlimen Penampang ini merupakan anak jati Kampung Limbanak di daerah Penampang berbangsa Kadazan. Menariknya mengenai calon muda ini ialah namanya yang mempunyai nama tokoh dunia, Nelson Mandela. Kaitannya, menurut Ceasar beliau lahir 5 bulan selepas Nelson Mandela dibebaskan dari penjara iaitu pada Februari 1990.
Beliau yang baru berusia 28 tahun berkata walaupun tidak diberitahu sebab sebenar di sebalik nama itu akui gembira kerana memiliki nama yang penuh bermakna.

Tun Dr Mahathir Mohammad

Dr Mahathir masih mempunyai karisma tersendiri sehingga mampu menarik perhatian rakyat Malaysia tanpa mengira usia, bangsa dan agama. Pada usia 93 tahun, beliau masih berhajat menjadi Perdana Menteri untuk kali kedua. Sepatutnya sudah bersara, berehat dan meluangkan masa dengan cucu-cicit, Mahathir merupakan individu yang banyak membentuk politik negara termasuk segala kontroversi yang pernah dan masih berlaku dalam Umno serta BN. Media antarabangsa pernah menyimpulkan beliau bersifat autokratik, berkaitan dengan kronisme tetapi pada waktu sama digelar bapa pemodenan Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.