Bezanya Ramadan, Syawal di Malaysia dan Indonesia

Hari Raya Aidilfitri atau eid-il-fitr disambut dengan meriah di Malaysia dan juga di negara saya Indonesia, negara Islam terbesar di dunia.

Setiap kali lebaran saya pasti akan pulang beraya dengan keluarga, seperti mana perantau yang lain namun saya masih dapat merasakan kemeriahan sambutannya di negara ini saban tahun apabila beraya bersama kawan-kawan di kampus dan melihat persiapan yang dibuat oleh masyarakat Islam negara ini.

Melalui pengamatan saya selepas hampir 4 tahun berada di Malaysia, ada beberapa perbezaan cara merayakan Aidilfitri di negara ini dan di Indonesia. Saya ingin berkongsi dengan pembaca mengenai perbezaan cara menyambut 1 Syawal ini.

Takbir sepanjang hari

Saya membesar di Jakarta Selatan iaitu di daerah Kuningan, sebahagian daripada kawasan 3 segi emas Jakarta. Di samping ia kawasan kediaman dan bisnes, ia juga menempatkan banyak bangunan kedutaan termasuk Kedutaan Besar Malaysia.

Di Indonesia, perayaan 1 Syawal dipanggil idul fitri dan semangat perayaan ini sudah mula dirasai di permulaan 1 Ramadan lagi. Masyarakat Islam di Indonesia akan mula bertakbir sehingga lewat malam, menandakan hari pertama Ramadan. Saya melihat di Malaysia, permulaan Ramadan disambut sederhana tetapi suasana perayaan mula terasa menjelang 1 Syawal.

Di Malaysia, takbir hari raya mula kedengaran di surau dan masjid selepas solat maghrib pada malam raya.

Di Indonesia, suasana amat berbeza sekali. Laungan takbir semakin memuncak pada malam raya dan ramai penduduk beragama Islam akan mengelilingi bandar dengan menaiki bas untuk melaungkan takbir menggunakan pembesar suara.

Ada yang akan menyewa trak atau bas dan meminta pemandunya membawa mereka mengelilingi bandar sambil memukul gendang dikenali sebagai “bedug” sambil melaungkan takbir. Di setiap sudut bandar akan kedengaran laungan syahdu takbir raya, sedikit terganggu dengan bunyi bising ledakan bunga api.

Tiada bazar Ramadan di Indonesia

Lazimnya bulan Ramadan juga menyaksikan meningkatnya kegiatan perniagaan untuk menampung keperluan menyediakan juadah berbuka puasa dan untuk menyambut hari raya. Saya perhatikan begitu banyak bazar Ramadan dengan pelbagai makanan serta minuman dijual.

Berbeza sekali di Indonesia, tidak ada bazar Ramadan cuma kita dapat lihat semakin ramai pedagang kaki 5, lelaki dan perempuan, menjual barangan mereka sambil berjalan kaki. Ada juga yang menjaja di lokasi tertentu pada bulan Ramadan. Jualan mereka terhad kepada snek seperti tempe dan tahu goreng serta minuman seperti cendol dan air bandung.

Di Malaysia, menjadi kesalahan makan dan minum secara terbuka sepanjang bulan Ramadan, bagaimanapun di Indonesia, wanita beragama Islam dibolehkan makan di tempat terbuka. Kedai makan di Indonesia dibuka seperti biasa sepanjang Ramadan.

Kesibukan “balik kampung” turut dapat lihat di Indonesia beberapa hari sebelum menjelang 1 Syawal. Di Indonesia tradisi pulang ke kampung halaman ini dikenali sebagai “mudik” dan jangan hairan jika melihat bas dan kereta api sarat dengan penumpang, sehingga ada yang sanggup bersesak-sesak asalkan dapat pulang ke kampung halaman untuk meraikan hari raya dengan keluarga tersayang.

Suasana pagi Raya hampir sama

Tiba pagi raya, rasa syahdu 1 Syawal begitu terasa. Seperti di Malaysia, ramai yang akan mengenakan pakaian baru. Di Malaysia, biasanya kaum lelaki akan memakai pakaian tradisional Baju Melayu atau jubah sementara kaum wanita juga memakai pakaian tradisional baju kurung, baju kebaya atau jubah, pelbagai warna.

Di Indonesia, tidak ada pakaian tertentu untuk sambutan hari raya. Ramai yang akan memakai pakaian berwarna putih kerana ia melambangkan kesucian, sesuai dengan sambutan 1 Syawal selepas sebulan berpuasa sepanjang Ramadan.

Seperti di Malaysia, masyarakat Islam di Indonesia akan berduyun-duyun ke masjid dan surau untuk menunaikan solat hari raya dan kemudiannya menziarahi pusara ahli keluarga dan saudara-mara. Kami juga akan salam bersalaman, meminta maaf seperti yang diamalkan di Malaysia.

Pemberian duit raya juga diamalkan di kalangan anggota keluarga untuk anak-anak, seperti yang saya lihat dibuat di Malaysia.

Rumah terbuka sesama ahli keluarga, kenalan rapat

Rumah terbuka di Indonesia hanya untuk ahli keluarga terdekat serta sahabat yang rapat, berbanding di Malaysia dengan penganjuran rumah terbuka, ada yang dibuat sepanjang Syawal.

Untuk juadah hari raya, di Indonesia, biasanya di pagi raya dihidangkan opor ayam (seakan kuah lemak) yang dimakan dengan ketupat di samping kuah lodeh.

Saya amat suka sekali hidangan hari raya di Malaysia terutama makanan tradisional iaitu lemang dan juadah lain iaitu ketupat, rendang dan sate.

Meskipun ada perbezaan kecil dari segi sambutan hari raya Aidilfitri, bagi saya yang sudah bertahun merantau untuk menimba ilmu di Malaysia, apa yang penting perayaan ini kesempatan untuk mengeratkan tali silaturrahim di kalangan anggota keluarga juga masyarakat Islam tanpa mengira keturunan atau latar belakang.

Saya pastinya akan merindui suasana hari raya di Malaysia kerana tahun ini adalah tahun terakhir saya belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pengalaman berada di negara ini pastinya akan menjadi kenangan sepanjang hayat.

Penulis, Safira Pratiwi Satriyandinar adalah pelajar Indonesia yang mengikuti pengajian Ijazah Komunikasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sejak 2014.