
Tiap kali berdiri di hadapan cermin, salah satu perkara yang memberi kebimbangan kepada kita ialah bentuk badan. Tidak kiralah betapa kurus sekalipun diri ini, pasti ada lemak yang muncul sana-sini memberi rasa tidak selesa. Apatah lagi bagi mereka yang terang-terangan ‘menyewakan’ tubuh kepada lemak sehingga ia membentuk ‘penempatan kekal’.
Bagi mereka yang sedang berusaha sebaik mungkin mengurangkan berat badan, pengambilan diet rendah lemak penting. Ini kerana ia dilihat sebagai musuh kepada usaha tersebut.
Tetapi tahukah anda terdapat pelbagai jenis lemak dalam tubuh, termasuk lemak baik yang membantu meningkatkan metabolisme badan?

Menurut pakar pemakanan dan perunding berat badan dari London, Alix Woods, tubuh kita mendukung 5 jenis lemak di mana setiap satu mempunyai struktur molekul yang berbeza dan kesan kesihatan yang berasingan.
Menarik bukan?
“Lemak berfungsi untuk menyimpan tenaga dan mengawal hormon, terutama metabolisme,” kata Alix seperti yang dipetik dari majalah Cosmopolitan.
Oleh itu, kita kena bijak mengusahakan pengambilan makanan terutama sekali lemak supaya tidak menjejaskan kesihatan.
Mari kita lihat 5 jenis lemak yang dimaksudkan itu.
1. Lemak perang
Lemak perang dipanggil lemak ‘baik’ kerana fungsinya ialah untuk memberi tenaga. Lemak perang ini ditemui di bahagian belakang leher dan dada. Ia juga sering dirujuk sebagai tisu adipose perang (BAT) yang bertanggungjawab untuk mengekalkan suhu badan.
Seseorang boleh meningkatkan lemak perang ini dengan memakan makanan sihat, suplemen dan mengubah gaya hidup.
2. Lemak krim
Lemak krim adalah gabungan lemak putih dan lemak coklat. Lemak ini terdapat di tulang belakang dan bahagian kolar iaitu di bawah leher. Melalui senaman yang kerap, lemak ini membebaskan hormon yang membantu menjadikan lemak putih menjadi lemak perang. Sesetengah makanan termasuk wain juga mempercepatkan proses pengambilan lemak ini.
3. Lemak subkutaneus putih
Lemak subkutaneus putih membekalkan lemak kalori dan menghasilkan adipnectin, iaitu sejenis hormon yang membantu hati dan otot untuk mengawal insulin. Insulin membantu mengekalkan tahap gula dalam darah stabil. Masalah timbul apabila lemak putih terlalu banyak tetapi tahap metabolisme turun. Dalam keadaan ini badan mula menjadi berat, terutamanya di kawasan pinggang, paha, serta perut. Lemak di kawasan ini sukar untuk dibasmi.
4. Lemak subkutan
Lemak subkutan ditemui di bawah permukaan kulit. Lemak jenis ini digunakan untuk mengukur keseluruhan peratusan lemak badan. Walaupun berselerak di semua bahagian badan, lemak subkutaneus banyak ditemui di bahagian belakang lengan, paha dan punggung. Lemak subkutan menghasilkan hormon estrogen untuk lelaki dan wanita. Sekiranya hormon estrogen berlebihan, maka terdapat peningkatan berat badan yang membawa kepada risiko penyakit kardiovaskular, kencing manis serta kanser.
5. Lemak Visceral
Lemak visceral adalah lemak yang paling ‘buruk’, terdapat di sekitar organ perut. Visceral boleh menyebabkan masalah kronik seperti pembesaran hati. Ini kerana lemak yang berada di sekitar hati dalam jumlah yang banyak dan menyekat saluran yang mengalirkan darah. Bagi mengelakkan keadaan ini, ketahui jenis lemak yang diambil bagi mengekalkan kesihatan keseluruhan dan organ tubuh.
Kenalah amalkan gaya hidup yan sihat!