Sila beri perhatian pada kebajikan staf KKM

Sila beri perhatian pada kebajikan staf KKM

Kerana mengutamakan kebajikan pesakitlah, kebajikan staf mereka terpaksa dijejaskan sedikit.

farmasi11

Oleh Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan

Jika dilihat pada jumlah masa bekerja, saya akui memang sesetengah kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) seperti doktor dan pegawai farmasi bertugas lebih had maksima waktu bekerja seperti digariskan Akta Kerja 1955 (Akta 256), Ordinan Buruh Sabah (Bab 67) dan Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76).

Namun begitu KKM tidak melanggar akta tersebut pun.

Sebenarnya, pegawai farmasi dan pegawai perubatan tidak tertakluk di bawah akta ini. Akta itu hanya melindungi buruh yang diberi gaji pokok RM2,000 dan ke bawah. Bagi yang tidak mengetahui, gaji pokok pegawai farmasi U41 dan pegawai perubatan UD41 pula bermula pada RM2,700.

Maka, daripada segi durasi masa bekerja, pegawai perlu bekerja mengikut keperluan semasa. Selain itu, saya rasa ada tuntutan elaun/time off boleh dibuat jika pegawai bekerja melebihi masa tertentu. Jika masih rasa masa itu masih keterlaluan, boleh buat aduan kepada pihak pengurusan untuk tindakan lanjut.

Kemudian, tentang pegawai atasan didakwa membuli. Sekali lagi saya akui terdapat pegawai atasan yang melampau, tetapi hanya segelintir saja. Secara amnya, pegawai atasan kurang penglibatan dalam kerja klinikal ini menyebabkan pegawai bawahan merasakan segala beban kerja dipikul oleh mereka.

Hakikatnya, pegawai atasan dibebani urusan pentadbiran jabatan yang tidak kurang pentingnya dalam memastikan perkhidmatan jabatan berjalan dengan lancar. Andai kata anda benar-benar dibuli, sila buat aduan rasmi kepada pihak jabatan.

Isu ketiga pula tentang kebajikan. Pada hemat saya, kerana mengutamakan kebajikan pesakitlah, kebajikan staf mereka terpaksa dijejaskan sedikit. Pegawai diarah bekerja lebih masa untuk memastikan perkhidmatan baik yang dapat diberi kepada pesakit.

Selain itu, saya rasa keistimewaan yang diberi SPA kepada kakitangan KKM juga tidaklah terlalu mengetepikan kebajikan para pegawai.

Isu terakhir berkenaan dengan tekanan pekerjaan. Umum sedia maklum bidang perubatan dan kesihatan adalah antara bidang yang memerlukan daya ketahanan fizikal, mental dan emosi. Ini kerana ia melibatkan kesihatan, masa depan dan nyawa manusia. Tekanan itu datang daripada sifat pekerjaan itu sendiri bukan hanya pada pihak pengurusan. Jadi tak adillah nak tuding jari kepada KKM saja.

Tak berkahwin? Kalau cinta itu datang, lautan api pun sanggup direnangi. Kekangan kerja tu apalah sangat, kan?

Apa pun, saya juga nak maklumkan ibu bapa saya doktor. Saya dan isteri juga doktor. Dua adik lelaki saya doktor, dan isteri mereka masing-masing doktor. Adik bongsu saya pelajar perubatan. Adik ipar (adik isteri) saya dan suaminya juga doktor. Tiga sepupu saya dan pasangan mereka juga doktor. Adakah kami rasa kebajikan kami dipinggirkan?

Sedikitlah, tetapi itulah pengorbanan kami dalam membantu pesakit. Kami akan bela diri dengan buat aduan pada saluran yang betul. Mungkin boleh pakat-pakat buat aduan terhadap pegawai atasan yang kurang disenangi itu. Paling tidak, buat permohonan perpindahan ke fasiliti kesihatan yang kurang sibuk.

Penafian: Ini pendapat peribadi saya. Saya tidak mewakili KKM mahupun doktor secara umum. Jika ada kakitangan KKM yang tidak bersetuju dengan saya, itu hak mereka.

Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan ialah pegawai perubatan.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.