Tenaganita: Ejen, majikan subahat dera pekerja di pedalaman

Tenaganita: Ejen, majikan subahat dera pekerja di pedalaman

Mangsa termasuk kanak-kanak dihantar ke ladang terpencil yang hanya boleh diakses menggunakan kenderaan pacuan 4 roda

Glorene-Das_pekarja_Tenaganita_600
PETALING JAYA:
Kebanyakan kes penderaan pekerja warga asing berlaku di pedalaman di mana mereka disembunyikan dari pengetahuan dunia luar, dakwa Pengarah Eksekutif Tenaganita, Glorene Das.

“Mereka tidak tahu di mana mereka berada dan terlalu takut untuk lari kerana mereka diugut oleh majikan dan ejen yang menggunakan samseng tempatan untuk mengawal mereka,” kata beliau kepada FMT.

Beliau berkata, keluarga pekerja ini dibawa masuk ke Malaysia menggunakan visa pelancong dan kemudian dihantar bekerja jauh di pedalaman dan mereka kekal dalam pekerjaan itu walaupun visa tamat.

“Ejen dan majikan mengeksploitasi mereka kerana tidak ada dasar menyeluruh yang jelas tentang pengambilan, penempatan dan mengupah pekerja asing,” katanya.

Beliau mengulas laporan akhbar baru-baru ini mengenai penyeludupan manusia dan penderaan terhadap 18 orang warga asing di sebuah ladang kelapa sawit di Pengkalan Hulu.

Menurut The Star, mangsa termasuk kanak-kanak dihantar ke ladang terpencil yang hanya boleh diakses menggunakan kenderaan pacuan 4 roda.

Selepas diselamatkan, mereka memberitahu polis mereka dipaksa bekerja lebih masa dengan kanak-kanak terpaksa memetik buah yang dituai.

Salah seorang mangsa dikenali sebagai Jag, seorang warganegara Malaysia dari Bahau, Negeri Sembilan.

“Eksploitasi ini adalah perkara baru kepada kami dan jika ia boleh berlaku kepada penduduk tempatan, maka semestinya ia juga berlaku kepada pekerja asing,” kata Glorene.

“Mereka dipaksa bekerja dan ia jelas sebagai penyeludupan manusia. Dalam aktiviti kami dengan pelarian dan pendatang asing, kita dapati banyak berlaku situasi sebegini.”

Beliau juga mendakwa beberapa ladang yang terlibat dengan penyalahgunaan kuasa itu adalah dari ladang subkontrak dengan syarikat perladangan yang terkenal.

“Syarikat perladangan adalah syarikat besar dan kebanyakan mereka mengetahui apa yang berlaku terutamanya di kalangan orang tengah.”

Beliau berkata, pihak atasan tidak menyedari aktiviti tersebut kerana kekurangan mekanisme pemantauan yang sepatutnya.

Selain itu, kata beliau, “kuranganya pemeriksaan buruh yang bekerja di pedalaman seperti sektor perladangan.”

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang bersetuju dengan Glorene berkata, penguatkuasaan yang lemah dan kekurangan pegawai pemeriksa buruh menyumbang kepada situasi yang menyedihkan ini.

“Ia bukan salah inspektor buruh tetapi kerana orang atasan tidak sanggup berbelanja lebih untuk mendapatkan tenaga kerja tambahan yang diperlukan,” katanya kepada FMT.

Menurut laporan lalu, pekerja yang dieksploitasi dibayar gaji tetapi pihak pengurusan memotong gaji mereka secara berlebihan terhadap barangan makanan yang dibekalkan kepada mereka.

Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Buruh pernah dihubungi untuk mendapatkan komen, bagaimanapun bekas ketua pengarah Jabatan Buruh, Sheikh Yahya Mohamed memberitahu FMT, kekurangan inspektor buruh boleh dikaitkan dengan kekurangan dana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.