
KUALA LUMPUR: Polis semalam menafikan penyebaran maklumat di laman sosial kononnya pusat-pusat membeli-belah dan tempat awam kini menjadi sasaran kumpulan pengganas.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM Urus Setia Ketua Polis Negara Datin Asmawati Ahmad berkata maklumat tersebar menerusi aplikasi WhatSApp itu turut mendakwa kerajaan telah mengeluarkan amaran berhubung perkara ini dan meminta orang ramai berwaspada.
“PDRM sahkan bahawa maklumat berkenaan adalah palsu dan disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bertujuan menakut-nakutkan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan.
PDRM akan terus berusaha untuk mengekalkan keselamatan awam dan memelihara kedaulatan negara daripada sebarang bentuk ancaman dari dalam dan luar negara, katanya.