Kesan Fukushima masih terasa, Jepun beritahu delegasi Malaysia

Kesan Fukushima masih terasa, Jepun beritahu delegasi Malaysia

Enam tahun selepas tsunami menyebabkan kebocoran loji nuklear Fukushima dan memaksa ribuan berpindah, Jepun masih dalam keadaan berhati-hati.

Kashiwazaki-1

NIIGATA (JEPUN): Bencana loji nuklear Fukushima pada 2011 terus memberikan kesan kepada Jepun, dan sehingga hari ini, hanya 2 daripada lebih 40 reaktor nuklear beroperasi sepenuhnya di negara yang banyak bergantung kepada tenaga murah itu.

“Jepun kini terpaksa mengimport 94% tenaga dari negara luar, dari sumber seperti gas asli dan arang batu yang lebih mahal daripada tenaga dari nuklear,” kata Penasihat Projek Pusat Kerjasama Antarabangsa Forum Industri Atom Jepun (JICC) Dr K Yamashita, dalam sesi maklumat kepada delegasi Malaysia ke Jepun semalam.

Pada 2011, Loji Jana Kuasa Fukushima Daiichi menerima kesan gempa bumi yang mencetuskan tsunami, menyebabkan pencemaran radiasi, dan memaksa puluhan ribu penduduk meninggalkan rumah mereka.

Kerajaan Jepun kemudian mengarahkan kesemua reaktor tersebut ditutup bagi pemeriksaan keselamatan.

Selain penggantungan operasi, peristiwa itu juga membawa persepsi negatif di kalangan rakyat Jepun.

Pada Jun 2012, Pew Research Centre dalam tinjauannya mendapati 70% penduduk negara itu berkata negara perlu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga nuklear.

Namun, Perdana Menteri Shinzo Abe ketika ulang tahun kelima tragedi itu berkata, tenaga nuklear sangat penting buat Jepun yang kekurangan sumber semula jadi.

Setakat ini, beberapa pusat jana kuasa dalam peringkat akhir untuk kembali beroperasi selepas melepasi piawaian Nuclear Regulation Authority (NRA) Jepun.

JICC semalam menerima delegasi Malaysia bagi program lawatan kerja pemahaman awam mengenai tenaga nuklear.

Belajar daripada Fukushima

Kashiwazaki-2

Delegasi seramai 25 orang yang melibatkan beberapa kementerian akan dibawa ke beberapa pusat jana kuasa nuklear, termasuk pusat terbesar di dunia iaitu Kashiwazaki-Kariwa.

Peserta dibawa melihat ciri keselamatan baru pasca-tsunami seperti tambak dan tembok setinggi 15 meter, walaupun pusat itu tidak mengadap Laut Jepun yang dilanda gempa bumi 6 tahun lalu.

Para peserta juga melalui pemeriksaan ketat sebanyak 2 peringkat sebelum memasuki kawasan pusat jana kuasa.

Menurut jurucakap Pusat Jana Kuasa Nuklear Kashiwazaki-Karika, Katsuhiko Hayashi, ia sebahagian daripada penambahbaikan bagi memenuhi tahap keselamatan NRA.

“Selain itu, ia termasuk menguatkan struktur tanah dan binaan bagi menahan gempa bumi, puting beliung serta menahan serangan pengganas,” katanya.

nuke-1

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Zaini Ujang berkata lawatan itu ternyata membuka mata berhubung perkembangan industri nuklear ekoran tragedi Fukushima.

“Kita berada dalam kawasan reaktor dan melihat sendiri tahap keselamatan yang sangat tinggi dengan teknologi terkini,” katanya kepada pemberita.

Beliau menegaskan kerajaan masih belum memutuskan untuk mewujudkan pusat jana kuasa di Malaysia dan masih dalam proses “mengumpul maklumat”.

Selain daripada teknologi nuklear, beliau berkata Malaysia juga boleh melihat cara Jepun memberi pemahaman kepada warganya yang turut menentang penggunaan tenaga itu, terutama selepas tragedi Fukushima.

Laporan Penilaian Bersepadu Infrastruktur Nuklear (INIR) Fasa 1 baru-baru ini menyatakan Malaysia bersedia untuk membuat keputusan berhubung memperkenalkan tenaga nuklear.

Namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata kerajaan hanya akan membuat keputusan berhubung projek pembangunan nuklear pada 2018, dan jika ia diteruskan, pusat jana kuasa nuklear pertama negara akan bermula selepas 2030.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.