
Oleh Rahman Imuda
Tulisan ini tidak bermaksud merendah-rendahkan pelajar cemerlang melalui sistem pendidikan negara kita, tetapi pandangan alternatif terhadap sistem pendidikan yang sedia ada.
Saya tidak melihat banyak perbezaan yang ketara antara gred yang dilekatkan pada pelajar dengan gred telur yang ada, lebih menarik kedua-duanya menggunakan abjad untuk menentukan kualiti.
Apabila kita ingin membeli telur di pasar, kita akan membeli berdasarkan gred telur dan apabila kebanyakan ahli masyarakat awam ingin menilai kualiti para pelajar, maka gred peperiksaan menjadi rujukan utama.
Sistem pendidikan kita menjadi satu pertandingan untuk menjadi telur gred A dan para pelajar yang lemah akan dikelaskan sebagai telur busuk. Pertandingan ini bermula seawal usia kanak-kanak lagi.
Telur yang memiliki gred A sentiasa mendapat perhatian, dan telur busuk sering diabaikan.
Antara hafalan dan fahaman
Saya tidak menafikan sistem peperiksaan perlu untuk mengukur tahap kefahaman seseorang terhadap ilmu yang mereka miliki. Masalah utama dalam peperiksaan kita yang sedia ada, kebanyakan pelajar ini menjadi “pelajar terlatih” bukan “pelajar yang berilmu”.
Mereka cuba menelan sebarapa banyak ilmu yang boleh untuk memastikan mereka boleh menjawab soalan ketika peperiksaan, dan melupakan ilmu yang dihafal setelah tamat peperiksaan.
Cerita seperti terdapat sekolah yang mengarahkan pelajarnya untuk menghafal karangan berbahasa Inggeris supaya boleh ditulis dengan hanya mengubah nama watak atau menambah ayat pada akhir karangan bukanlah sesuatu yang asing lagi.
Tidak hairan, jika ada mereka yang skor dalam peperiksaaan Bahasa Inggeris tetapi apabila melangkah ke alam pendidikan yang lebih tinggi, tidak mampu menulis dan bertutur dengan baik.
Setiap pelajar memiliki kebolehan, kelemahan dan minat yang berbeza-beza, malangnya sistem pendidikan kita pada peringkat sekolah rendah menyeragamkan cara mengajar, sistem peperiksaan dan silibus pendidikan.
Kita pasti pernah mendengar kata-kata ini, “Everybody is a genius. But if you judge a fish by its ability to climb a tree, it will live its whole life believing that it is stupid.”
Sistem pendidikan kita menyediakan satu perlumbaan yang tidak adil kepada para pelajar, mereka yang mempunyai kelebihan menghafal dengan baik, selalu menjadi pemenang.
Pelajar yang mempunyai kelebihan yang lain sering berada di tempat belakang dan beranggapan diri adalah bodoh kerana gagal dalam perlumbaan yang tidak adil itu.
Finland
Finland merefomasikan sistem pendidikan mereka hampir 40 tahun lepas. Reformasi itu berjaya menjadikan mereka antara negara yang paling berjaya dalam peratus rakyat yang menyambung pelajaran ke pendidikan tinggi, mengalahkan Amerika Syarikat dan beberapa negara lain.
Pada peringkat sekolah rendah, mereka tidak memiliki peperiksaan yang seragam dan fokus untuk mengajar para pelajar untuk menghadapi kehidupan yang mendatang.
Guru pula akan sering mengadakan perbincangan untuk mendapatkan kaedah terbaik yang perlu diberikan kepada para pelajar, kerana mereka menyedari setiap pelajar memiliki minat dan kemahiran yang berbeza-beza.
Guru Finland mendapat gaji yang lebih baik berbanding di negara Eropah yang lain, dan menghabiskan masa yang lebih sedikit di sekolah. Kebanyakan aktiviti dilakukan di luar kelas dengan penuh keseronokan.
Pendidikan wajib untuk kanak-kanak tidak bermula pada usia 7 tahun, tapi apabila seseorang kanak-kanak itu diyakini bersedia untuk belajar oleh ibu bapa mereka.
Sistem peperiksaan yang seragam hanya muncul apabila seorang pelajar itu menginjak gred 6 di Finland. Keputusan peperiksaan mereka pula tidak akan dipaparkan secara umum seperti yang berlaku di kebanyakan tempat.
Saya melihat sistem pendidikan di Finland fokus untuk mencari kebolehan dan minat para pelajar. Apabila mereka menghadapi pelajar yang menghadapi masalah dalam pelajaran, mereka tidak meninggalkan mereka atau meletakkan mereka dalam kelas “hujung”, tapi cuba mencari kaedah pembelajaran yang baharu untuk pelajar tersebut.
Saya fikir ini adalah merupakan elemen yang kita tidak miliki dalam sistem pendidikan sekarang.
Sang juara yang senyap
Malaysia memiliki ramai ilmuan yang lahir daripada sistem pendidikan sedia ada. Kita harus akui kebanyakan mereka telah menyumbang dalam pembangunan masyarakat dan negara.
Tetapi terlalu sedikit para sarjana yang mengkritik dengan lantang berkenaan sistem pendidikan kita yang sedia.
Jika fikir-fikirkan sekali lagi, para ilmuan ini lahir daripada sistem pendidikan yang sedia ada, dan mereka menjadi juara dalam perlumbaan yang saya sebutkan di awal tulisan ini.
Saya terfikir, adakah mereka “sang juara” akan mengkritik perlumbaan yang menjadikan mereka “juara”?
Lebih malang lagi, dasar dan polisi pendidikan negara dikawal oleh para politikus yang berkebarangkalian besar kurang arif dalam selok belok dunia pendidikan.
Ini menjadikan pandangan daripada sarjana memiliki kuasa yang terhad, mereka mungkin diberikan ruang untuk mencadang, namun keputusan akhir terletak pada tangan politikus ini.
Saya berharap suatu hari nanti Malaysia akan menggunakan sistem pendidikan yang akan berjaya menanam sifat keseronokan dan kecintaan ilmu dalam jiwa para pelajar.
Perlumbaan dan mengkelaskan pelajar kepada kelompok tertentu hasil daripada penilaian yang menggunakan parameter yang diseragamkan harus dikurangankan.
Untuk permulaan, tidak salah jika negara kita mengambil contoh sistem pendidikan di Finland untuk cuba diasimilasikan dengan sistem pendidikan negara kita.
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.