PH idam rampas Johor Bahru daripada Shahrir Samad

PH idam rampas Johor Bahru daripada Shahrir Samad

Akmal Nasir yakin peluang PH menumbangkan Umno di Johor Bahru cerah kerana pengundi Melayu tidak puas hati dengan kepimpinan sedia ada.

najib-sain
Shahrir Samad (duduk, kiri) berhasrat terus bertanding pada PRU14 untuk mempertahankan kerusi Parlimen Johor Bahru yang disandangnya selama 7 penggal, sejak 1978. (Gambar Facebook Shahrir Samad)
JOHOR BAHRU:
Bandar paling selatan di Semenanjung Malaysia ini ialah ibu negeri Johor yang diasaskan pada 1855.

Bandar raya ini yang dahulunya dikenali sebagai Tanjung Puteri atau Iskandar Puteri, juga merupakan tempat kelahiran Umno, parti politik terbesar di Malaysia, pada 1946.

Jadi, tidak hairanlah kerusi Parlimen Johor Bahru menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN), dengan pemimpin Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyandang kerusi itu selama 7 penggal.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) itu mula bertanding di Johor Bahru pada pilihan raya umum (PRU) 1978 atas tiket BN.

Beliau berjaya mempertahankan kerusi Parlimen itu untuk 2 penggal berikutnya, sebelum meletak jawatan sebagai wakil rakyat pada Julai 1988 kerana tidak sehaluan dengan perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan memaksa pilihan raya kecil diadakan pada bulan berikutnya.

Kehebatannya terbukti apabila beliau menang dengan majoriti besar 12,613 undi, walaupun bertanding sebagai calon bebas.

Setahun kemudian, Shahrir kembali ke pangkuan Umno, tetapi beliau digugurkan BN pada PRU 1990, 1995 dan 1999. Penggantinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berjaya meneruskan penguasaan BN di kawasan itu.

Shahrir yang pernah mengetuai Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) kembali diturunkan di kerusi Parlimen itu pada PRU 2004, 2008 dan 2013.

Biarpun Umno berjaya mempertahankan kerusi itu dalam 3 penggal itu, majoriti yang dimenangi menunjukkan kemerosotan, daripada 46,792 undi pada 2004 kepada 25,349 undi pada 2008 dan 10,134 undi pada 2013.

Pun begitu, bandar raya ke-2 terbesar serta pusat perniagaan dan perdagangan tersohor itu, dengan populasi sekitar 876,000 orang, turut menjadi tumpuan dan idaman parti pembangkang, termasuk Pakatan Harapan (PH) pada PRU14.

Ketua PKR Cabang Johor Bahru Akmal Nasir percaya peluang PH menumbangkan Umno di Johor Bahru cerah berikutan kecenderungan pengundi Melayu tidak menyokong Umno lagi.

Perubahan itu disebabkan rasa tidak puas hati pengundi Melayu di bandar raya itu terhadap kepimpinan Umno sedia ada, khasnya dalam isu pemilikan tanah kawasan penempatan di situ.

“Isu yang merunsingkan pengundi ialah banyaknya kampung Melayu seperti Kampung Bakar Batu, Kampung Datuk Hajah Hasnah dan Majidee yang masih tidak ada geran tanah,” katanya kepada FMT.

“Rakyat muak dengan janji pemimpin Umno sejak sekian lama untuk menyelesaikan isu ini.”

Faktor tsunami undi Cina memihak kepada pembangkang sejak beberapa PRU lalu menyaksikan Johor yang selama ini dianggap kubu kuat BN seperti Sabah dan Sarawak turut merasai tempiasnya.

Berdasarkan statistik 2013, kerusi Parlimen Johor Bahru mempunyai 96,321 pengundi yang terdiri daripada 51% Melayu, 43% Cina dan 5% India. BN memenangi 55.8% undi popular keseluruhan berbanding calon PKR Md Hashim Hussein yang terpaksa berpuas hati dengan 42.6% pada PRU13.

“Dalam kalangan Melayu, lantikan Shahrir ke dalam Felda misalnya adalah untuk menaikkan sokongan undi Melayu kepada BN, tetapi isu demi isu yang timbul dalam Felda, termasuk ‘kehilangan’ tanah di Jalan Semarak kepada pihak swasta menghakis sokongan itu, termasuk kepada dirinya,” kata Akmal.

Akmal berkata, PH akan berusaha menambah sokongan pengundi Melayu dan memaksimumkan sokongan pengundi Cina di Johor Bahru.

“Sedikit pertambahan sokongan Melayu sudah cukup memenangkan PH di sini, begitu juga di kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) Tanjung Puteri, kita yakin sokongan pengundi akan bertambah,” katanya.

Akmal berkata, PH akan memberi laluan kepada PKR untuk bertanding di Johor Bahru seperti sebelum ini, walaupun calonnya belum diputuskan lagi.

Pada PRU13, DUN Stulang dimenangi DAP dan Tanjung Puteri dikuasai BN, masing-masing dengan kelebihan 3,296 dan 9,097 undi.

Shahrir yang pernah menyuarakan hasrat bersara daripada politik pada Mac 2016, kemudiannya berubah fikiran dan mengumumkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Johor Bahru serta bersedia menyahut cabaran daripada nama besar pembangkang pada PRU14.

Shahrir ketika ditemui FMT baru-baru ini berkata, BN bertekad mempertahankan kerusi yang dipegangnya selama 7 penggal itu.

“Semenjak perdana menteri umumkan minta dalam mesyuarat perwakilan bahagian untuk saya bertanding, saya sudah tidak cakap apa-apa.

“Jadi, kita sama-sama tunggulah pada hari penamaan calon. Yang minat (kerusi Parlimen Johor Bahru), itu dia punya pasal sebab itu parti lain (bukan BN).

“Parti kita (BN) berminat mempertahankan kerusi Parlimen kita,” katanya.

Pada PRU13, BN menyapu 21 daripada 26 kerusi Parlimen di Johor.

Di peringkat negeri pula, BN mengekalkan penguasaan 2/3 di DUN dengan menguasai 38 daripada 56 kerusi. DAP memenangi 13 kerusi, PAS (4) dan PKR (1).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.