
Dengan lebih setengah juta penduduk, lokasi yang popular dengan jolokan PJ ini dengan mudah menjadi bandar paling maju di Malaysia.
Pada mulanya, ia dibina sebagai bandar satelit untuk membantu pertumbuhan Kuala Lumpur, sebelum diberikan status bandar pada 2006, hanya 2 tahun sebelum pentadbirannya diambil alih pakatan pembangkang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP, yang kini terbubar.
Kerusi Parlimen PJ mula diwujudkan pada pilihan raya umum ke-7 (PRU7) pada 1986, apabila calon DAP, Dr Eng Seng Chai mengalahkan Lee Phon Yong dari Barisan Nasional (BN).
PRU berikutnya pada 1990, calon DAP ketika itu, Dr Kua Kia Soong menggantikan Eng dan menang dengan majoriti lebih besar.
PJ dibahagikan kepada PJ Utara dan PJ Selatan pada 1994, sejurus sebelum PRU9. Pada masa itu, BN akhirnya dapat bertapak di bandar ini.
Calon MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai menang dengan majoriti besar di PJ Selatan. BN juga mendapat bonus apabila Lim Kuo Phau menang tanpa bertanding di PJ Utara, selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak pencalonan Kua dan pemimpin veteran DAP menyalahkannya atas sabotaj dalaman.
Pada PRU13, Tony Pua dari DAP berjaya mempertahankan PJ Utara dengan 80% undi, manakala di PJ Selatan, Hee Loy Sian dari PKR mengekalkan kerusi itu dengan kelebihan lebih besar, 63% undi.
Utara dan Selatan
Masyarakat Cina yang lebih tertumpu di bandar ini menyebabkan BN dan pembangkang secara tradisinya meletakkan calon bukan Melayu di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, masih ada sebilangan orang Melayu tinggal di kawasan golongan pekerja seperti Taman Medan dan Taman Dato Haron di selatan (PJ Selatan), serta di kawasan kelas pertengahan Kampung Tunku di utara (PJ Utara).
Walaupun pembangkang dilihat menguasai kedua-dua kerusi Parlimen itu, Pengerusi MCA Bahagian PJ Utara, Tam Gim Tuan memberitahu FMT, penduduk PJ tidak lagi mengundi berdasarkan parti politik.
“Penduduk Petaling Jaya mahu calon yang baik tanpa mengira mereka datang daripada parti mana.
“Jika anda tidak berkhidmat kepada rakyat, mereka tidak peduli anda dari MCA atau DAP, anda boleh keluar,” katanya.
Tam berkata, Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai PKR, DAP, Amanah dan PPBM, terlalu memfokuskan isu negara dan mengabaikan masalah harian penduduk PJ, seperti banjir kilat di Seksyen 17 dan kehilangan kawasan hijau akibat pembangunan yang berlebihan.
“Sementara itu, semua orang menyalahkan satu sama lain dan tiada orang mahu bertanggungjawab.
“Ahli Parlimen akan kata ini bukan masalah mereka, adun akan kata ia bukan masalah mereka dan majlis perbandaran juga tidak mahu bertanggungjawab.”
Tam percaya BN masih mempunyai peluang jika parti itu dapat membuktikan kepada penduduk PJ, ia mampu menyelesaikan masalah mereka.
“PJ akan menjadi sukar bagi semua orang (untuk menang). Pada masa ini, masalahnya ialah terlalu banyak politik berlaku dan pengundi di PJ tidak peduli semua itu.
“Mereka tidak mahu orang yang hanya tahu bercakap. Mereka mahu orang boleh buat kerja dan menyelesaikan masalah.”
Taman Medan
Sebahagian besar PJ Selatan terdiri daripada golongan kelas pekerja seperti Taman Medan di sepanjang Jalan Klang Lama yang sibuk dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).
Taman Medan adalah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bermajoriti Melayu di PJ Selatan.

Sebut sahaja Taman Medan, ia mengingatkan rakyat kepada rusuhan kaum pada 2001 di kawasan itu melibatkan masyarakat India dan Melayu disebabkan salah faham.
Rusuhan itu bertambah buruk dan tersebar ke Kampung Gandhi, Kampung Lindungan, Kampung Datuk Harun, Taman Desa Ria dan sekitar Jalan Klang Lama.
Rusuhan yang berlarutan selama 9 hari dari 4 hingga 13 Mac itu, bermula dengan krisis perkauman yang merebak ke Petaling Jaya, Jalan Gasing, Kelana Jaya, Sungai Way, Bandar Sunway dan Puchong. Enam terbunuh dan ramai lagi cedera.
Taman Medan sekali lagi menjadi tumpuan pada 2015, berikutan bantahan terhadap sebuah gereja yang terletak di lot kedai kawasan itu yang mempamerkan tanda salib.
Pada 19 April 2015, kira-kira 50 orang berkumpul di luar gereja itu dan menuntut tanda salib itu diturunkan kerana dianggap mengganggu umat Islam.
Walaupun tuntutan itu akhirnya dipenuhi, kerajaan Selangor menggesa pihak gereja meletakkan semula tanda salib itu dan berjanji akan melindungi gereja terbabit.
PKR memenangi kerusi DUN bermajoriti Melayu itu buat pertama kali apabila menurunkan Haniza Mohd Talha pada 2008. Haniza berjaya mempertahankan kerusi itu pada PRU13, tetapi dengan majoriti lebih rendah.
Haniza percaya majoriti lebih besar pada 2008 berpunca daripada undian bantahan dari dalam Umno, manakala keputusan pada 2013 menunjukkan sentimen sebenar.
“Pada 2008, ada puak berbeza dalam Umno dan masing-masing mahu meletakkan calon sendiri. Apabila puak itu tidak mendapat apa yang mereka mahu, mereka mengundi menentang parti,” katanya kepada FMT.
Dalam PRU13, 5 calon bersaing di kerusi DUN itu, termasuk 2 calon bebas dan seorang calon dari Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) yang sekadar mendapat 55 undi.
Haniza berkata, hakikatnya kemenangan PKR itu menunjukkan ia memperoleh sokongan kuat daripada pengundi.
“Pada 2013, ada cubaan oleh BN untuk memecahkan undi dengan meletakkan calon bebas, tetapi itu tidak penting,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan Taman Medan sekali lagi menyaksikan pertandingan pelbagai penjuru pada PRU14, Haniza berkata, ia adalah senario yang mungkin berlaku.
“PAS bercadang menurunkan Ariffin Mahaiyuddin.”
Tetapi, berdasarkan keputusan PRU13, katanya, PKR tidak tergugat dengan pertandingan 3 atau 5 penjuru.