Bukan semua wakil rakyat lama harus diganti, kata Rahman

Bukan semua wakil rakyat lama harus diganti, kata Rahman

Katanya, di sesetengah kawasan ada pemimpin yang memang berprestasi baik sepanjang tahun.

Free Malaysia Today
Rahman Dahlan berkata Ahli Parlimen dan Adun yang sudah berumur harus menerima cara baru berkempen di media sosial.
KOTA KINABALU:
Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Abdul Rahman Dahlan percaya parti tidak sepatutnya ditekan menggantikan wakil rakyat yang sudah lama berkhidmat dengan muka baru.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri sesi gotong-royong di Manggatal hari ini, Rahman berkata ia bukanlah satu keharusan untuk menggantikan Ahli Parlimen atau Adun yang sudah berkhidmat untuk sesuatu tempoh masa.

“Di sesetengah kawasan, terdapat pemimpin yang menunjukkan prestasi baik sepanjang tahun.

“Jadi, tiada alasan untuk menggantikan mereka, terutamanya jika pengundi masih mahukan mereka.”

Bagaimanapun, katanya, penting untuk memberi peluang kepada muka baru dan calon muda tetapi ia bukanlah satu kemestian.

Pada waktu sama, katanya, mereka yang sudah berkhidmat lama harus mengemaskini pengetahuan dan memahami aspirasi generasi muda.

Contohnya, ada beza ketara antara gaya orang muda berkempen dengan cara orang lebih tua melakukan sesuatu perkara, terutamanya di media sosial.

“Generasi lebih berumur harus menerima cara berkempen baru di media sosial.

“Pengundi muda lebih berminat dengan isu yang menjejaskan mereka secara langsung. Generasi yang berumur tidak boleh berpuas hati dengan cara lama,” katanya.

Sementara itu, mengulas kemajuan kempen di Sepanggar, iaitu kerusi Parlimen di mana beliau dikatakan akan bertanding pada pilihan raya akan datang, Rahman berkata beliau disambut baik dan disokong rakyat di sana.

“Saya sudah bertemu ramai orang semasa turun padang, pemimpin masyarakat, pemimpin agama dan ahli perniagaan.

“Mereka semua mahukan masa depan lebih baik. Mereka mahukan pendidikan dan peluang perniagaan lebih baik. Mereka percaya BN boleh menyumbang di sini.”

Rahman berkata sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri, beliau berpeluang mengetahui kawasan di seluruh negara dengan potensi paling banyak untuk pembangunan dan Sepanggar salah satunya.

Sepanggar, katanya, mempunyai semua yang diperlukan untuk menjadi pemangkin ekonomi untuk negara dan Sabah.

“Ia mempunyai pelabuhan, tanah industri yang luas, perusahaan kecil dan sederhana yang banyak dan jumlah penduduk yang besar iaitu 300,000.

“Rakyat di sini berfikiran terbuka dan membenarkan orang dari daerah lain datang dan menetap di sini, menyediakan pekerjaan kepada mereka agar ekonomi boleh berkembang.”

Kerusi Sepanggar mempunyai pengundi seramai 62,000 orang, 51% Bumiputera Islam, 26% Cina dan 21% Bumiputera bukan Islam.

Ahli Parlimen Sepanggar sekarang, Datuk Jumat Idris, yang sudah mengetuai Umno Bahagian Sepanggar sejak 2008, memenangi kerusi itu pada PRU 2013 dengan majoriti 9,442 undi, memperoleh 22,845 undi menentang wakil DAP Jeffrey Kumin yang memperoleh 13,403 undi.

Antara yang bakal bertanding untuk kerusi Sepanggar adalah Chong Hon Kiong dari Parti Maju Sabah (SAPP) yang meraih 4,070 undi, dan Daniel John Jambun dari Parti Reformasi Negeri (STAR) yang meraih 1,931 undi.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.