Hidupkan kementerian pembanguan usahawan bantu peniaga Bumiputera

Hidupkan kementerian pembanguan usahawan bantu peniaga Bumiputera

Ameer Ali Mydin menggesa kerajaan menghidupkan semula Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagi membantu peniaga Bumiputera.

Free Malaysia Today
Ameer berkata kerajaan boleh menghidupkan semula kementerian berkenaan yang lebih fokus membantu peniaga Bumiputera berkembang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bos rangkaian pasar raya Mydin menggesa kerajaan Pakatan Harapan (BN) supaya menghidupkan semula Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagi membantu peniaga Bumiputera dengan lebih berkesan.

Pengarah urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin memberi komen kepada kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa ramai peniaga di pusat perniagaan Pekan Rabu Alor Setar Kedah menjual barangan yang sama

Bercakap kepada FMT, Ameer berkata, peniaga Bumiputera yang lebih berusia sukar mencari pasaran khusus mereka berbanding peniaga muda yang lebih berkemahiran dari segi teknologi dan penjenamaan.

“Dalam perniagaan, perlu dicari pasaran khusus kita, sama ada kita peniaga kecil atau pedagang besar. Malah di Mydin pun, kami perlu kelihatan berbeza berbanding pesaing. Pasaran khusus kami ialah kami 100% dan kami berikan ruang kepada usahawan kecil dan sederhana tempatan menjual produk mereka.

“Jika tiada pasaran khusus, maka kelebihan persaingan anda akan hilang dan saham pasaran akan menguncup,” katanya.

Beliau berkata, berbeza dengan kompleks membeli belah, di tempat perniagaan seperti Pekan Rabu, walaupun anda mempunyai ruang berniaga, tidak ada pihak yang mengawal campuran jenis barangan yang dijual.

Di pusat membeli belah dan pasar raya, operatornya tidak akan membenarkan terlalu banyak kedai menjual barangan sama.

Bagaimana pun katanya, terdapat kekecualian “hub” seperti Jalan Masjid India yang menempatkan banyak kedai emas kerana pasarannya besar dan emas pula merupakan barangan premium.

Oleh sebab itu kata Ameer, kerajaan boleh menghidupkan semula kementerian berkenaan yang lebih fokus dalam membantu peniaga Bumiputera berkembang. Ia dimansuhkan pada 2009.

Katanya, kementerian tersebut yang diwujudkan sewaktu Dr Mahathir memimpin kerajaan sebelum ini bertanggungjawab memulakan inisiatif seperti Satu Daerah Satu Industri yang membantu usahawan Bumiputera membangunkan pasaran khusus masing-masing dan juga isi padu pengeluaran lebih tinggi untuk menarik pasasarn lebih besar.

Sementara itu, felo kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Azlan Awang berkata, kurangnya kesatuan dan semangat setia kawan dalam kalangan peniaga Bumiputera dalam merancang dan menyelaras mereka menyumbang kepada keadaan itu.

“Penting ada persepakatan dengan pihak berkuasa tempatan, pemilik premis misalnya untuk tujuan pembelian borong atau merangka polisi menguntungkan dan juga perkongsian pengetahuan.

“Kurang terdapat persatuan atau kumpulan sebagai platform dalam kalangan peniaga Bumiputera untuk melakukan perkara itu, dan keadaan ini berlaku dalam semua bidang perniagaan,” katanya, dan menambah peniaga Bumiputera perlu mengatasi kurangan “modal sosial” itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.