Buka semula kedutaan Korea Utara mengejutkan, kata diplomat veteran

Buka semula kedutaan Korea Utara mengejutkan, kata diplomat veteran

Dennis Ignatius yang berkhidmat beberapa dekad dalam hubungan diplomatik berkata Malaysia tidak mendapat manfaat daripada hubungan rapat dengan Korea Utara.

Free Malaysia Today
Banglo yang menempatkan kedutaan Korea Utara di Bukit Damansara, di mana polis Malaysia gagal menyoal siasat suspek dalam pembunuhan Kim Jong Nam.
PETALING JAYA:
Seorang bekas diplomat Malaysia mempersoalkan langkah Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersetuju menormalisasikan hubungan dengan Korea Utara dan membuka semula kedutaannya di Kuala Lumpur, menggambarkannya sebagai “pramatang” kerana hanya setahun lalu Pyongyang terlibat dalam kes pembunuhan yang berlaku di Malaysia.

Dennis Ignatius, bekas diplomat yang hampir 4 dekad berpengalaman dalam Perkhidmatan Luar Negara Malaysia, termasuk sebagai duta ke Kanada Chile dan Argentina, berkata sikap Pyongyang dalam kes pembunuhan abang sebapa diktator Korea Utara, Kim Jong Un “keterlaluan, tidak menghormati dan menentang semua norma tingkah laku diplomatik dan hubungan antara negara”.

“Ia tidak akan dilupakan bagaimana Korea Utara melakukan pembunuhan di bumi Malaysia menggunakan agen saraf membunuh.

“Ia kemudian menahan misi diplomatik kita sebagai tebusan di Pyongyang sehingga warga Korea Utara yang terlibat dalam serangan itu dibenarkan meninggalkan Kuala Lumpur,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman perdana menteri untuk membuka semula kedutaan yang ditutup selepas keengganan Korea Utara menyerahkan kakitangan diplomatik yang terlibat dalam pembunuhan Kim Jong Nam pada Februari tahun lepas.

Jong Nam terbunuh pada 13 Februari tahun lalu dalam satu serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di Sepang, sejam sebelum penerbangannya ke Macau.

Dua wanita, warga Vietnam dan Indonesia didakwa menyapu mukanya dengan bahan yang dikenal pasti sebagai agen saraf VX yang diharamkan dan didakwa membunuh pada 1 Mac.

Kes itu mendapat liputan seluruh dunia dan menegangkan hubungan diplomatik Putrajaya dan Pyongyang, di mana Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan mengatakan pembunuhan itu dirancang oleh Pyongyang.

Percubaan polis Malaysia untuk menyoal siasat beberapa suspek yang berlindung di kedutaan Korea Utara di Bukit Damansara juga gagal. Sebaliknya, Pyongyang menuntut agar mayat Jong Nam dikembalikan.

Ia kemudian tidak membenarkan 9 rakyat Malaysia di kedutaan di Pyongyang meninggalkan negara itu sehingga permintaannya dipenuhi. Malaysia pula tidak membenarkan diplomat Korea Utara meninggalkan negara ini, tetapi akhirnya berlaku pertukaran dan rakyat Malaysia selamat pulang ke tanah air.

Pengumuman Dr Mahathir yang bersetuju Pyongyang membuka semula kedutaannya selepas pertemuan di Singapura antara Jong Un dan Presiden Donald Trump.

Dennis, pengkritik lantang berhubung perjanjian kerajaan sebelum ini dengan China, berkata pembukaan semula kedutaan itu “menghantar isyarat yang salah kepada rejim itu dan memberi ganjaran kepada sikap melampau mereka”.

“Ia adalah salah satu daripada kedutaan yang tidak sepatutnya dibuka pada sejak awal,” katanya, sambil menambah Malaysia tidak mendapat manfaat daripada hubungan rapat dengan Korea Utara.

“Ketika negara cuba membina semula ekonomi, pendanaan kedutaan di Pyongyang hanyalah pembaziran dana awam.”

Malaysia to reopen embassy in North Korea

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.