Siasat saya, bukan beku akaun Umno, SUPP, kata Najib

Siasat saya, bukan beku akaun Umno, SUPP, kata Najib

Najib mencabar parti PH seperti PPBM dan DAP supaya mengisytiharkan dana politik yang diterima bebas daripada sumber haram.

Free Malaysia Today
Bekas perdana menteri berkata, Umno dan SUPP tidak bersalah dan pihak berkuasa mempunyai cara lain untuk melakukan siasatan sekiranya dana parti itu mempunyai kaitan dengan 1MDB tanpa membekukannya. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Datuk Seri Najib Razak menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan arahan membeku akaun parti politik pembangkang termasuk Umno dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas perdana menteri itu berkata, Umno dan SUPP tidak bersalah dan pihak berkuasa mempunyai cara lain untuk melakukan siasatan sekiranya dana parti itu mempunyai kaitan dengan 1MDB tanpa membekukannya.

“Berdasarkan kepada pelbagai kenyataan dan laporan media, tindakan kerajaan baru membekukan akaun Umno dan SUPP dibuat kerana mengesyaki parti politik ini menerima dana dari 1MDB sebelum PRU13 dan wang ini didakwa kononnya dibelanjakan untuk pilihan raya umum.

“PRU13 diadakan 5 tahun lalu. Untuk itu, membenarkan akaun bank parti politik terbabit beroperasi seperti biasa tanpa dibekukan tidak akan menjejaskan siasatan yang sedang dilakukan.

“Bukankah rekod transaksi akaun bank terbabit mudah diperolehi jika diperlukan penyiasat,” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya hari ini, sambil berkata terdapat gesaan daripada pimpinan PH supaya akaun parti MCA, MIC dan Gerakkan turut dibekukan.

Najib pada masa sama menegaskan tidak ada sebarang kesalahan bagi mana-mana parti menerima dana politik termasuklah PH.

Beliau turut mencabar parti PH seperti PPBM dan DAP supaya mengisytiharkan dana politik yang diterima bebas daripada sumber haram.

“Sebagaimana parti politik lain, termasuk parti di dalam gabungan PH, adalah satu kelaziman untuk menerima derma politik. Di bawah undang-undang ketika ini, tiada peruntukan perundangan yang menyatakan pembiayaan politik adalah salah.

“Bagaimana sesebuah parti politik dapat mengesahkan sumber dana yang diperolehi? Bolehkah PPBM atau DAP mengesahkan derma diterima mereka tidak datang daripada penderma yang terlibat dalam aktiviti haram atau kegiatan ekonomi gelap (black economy),” soalnya.

Najib turut berkata, beliau bertanggungjawab penuh berhubung tuduhan terlibat pelbagai salah laku dan meminta siasatan hanya dibuat ke atas dirinya bukan memangsakan parti politik pembangkang dengan membekukan akaun.

“Memandangkan PH telah berkempen untuk PRU14 dengan mendakwa saya terlibat dalam pelbagai salah laku, saya mengalukan siasatan terhadap saya, namun jangan jadikan parti politik sebagai mangsa.

“Tindakan tidak wajar membekukan akaun bank akan menjejaskan aktiviti parti dan pembinaan semula parti pembangkang. Ia juga akan memberi kepayahan kepada kakitangan serta keluarga mereka yang digajikan parti,” katanya sambil menegaskan tindakan pembekuan itu turut menjejaskan aktiviti membantu rakyat.

Katanya, pembekuan akuan parti Umno juga akan menjejaskan kebangkitan pembangkang yang efektif dan boleh dilihat sebagai serangan dan penafian terhadap asas demoraksi.

Beberapa hari lalu, SPRM bertindak membeku akuan Umno pusat dan Umno Selangor.

Terbaru pihak berkuasa itu turut membekukan akaun SUPP, kononnya berkait rapat dengan siasatan ke atas 1MDB.

Zahid dakwa SPRM beku akaun Umno pusat, Selangor

SPRM bekukan akaun bank SUPP untuk siasatan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.