Larangan merokok di Parlimen kekal, kata menteri

Larangan merokok di Parlimen kekal, kata menteri

Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perokok boleh berbuat demikian di luar bangunan Parlimen sehingga ruang merokok alternatif tetap disediakan di luar bangunan Parlimen.

Sudut merokok dan ruang makan di dalam bangunan Parlimen diisytiharkan kawasan larangan merokok sejak Isnin lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan mengekalkan larangan merokok di Parlimen, walaupun terdapat bantahan daripada kalangan wakil rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau sudah menemui Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berhubung pembatalan ruang merokok di dalam bangunan Parlimen hari ini.

“Ia selaras Artikel 8 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (FCTC WHO), iaitu melindungi golongan bukan perokok daripada bahaya asap rokok dan Peraturan 11 Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

“Penguatkuasaan peraturan ini menunjukkan bahawa melindungi kesihatan rakyat adalah penting dan ia mesti bermula dengan institusi Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan.

Hari ini, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul meminta speaker Dewan Rakyat menarik balik notis larangan merokok di Parlimen kerana tiada pihak, termasuk menteri lebih berkuasa daripada speaker Dewan Rakyat di Parlimen.

“Ini rumah anda. Dia perlu bincang dengan speaker. Speaker akan maklumkan kepada kita. Biarlah speaker yang letakkan notis dan maklumkan. Saya tidak merokok, tetapi ini untuk berlaku adil pada kita semua yang ada ‘privileges’,” katanya di Dewan Rakyat.

Cadangan itu disokong Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang berkata, tiada penguat kuasa boleh berlegar-legar mencari kesalahan ahli Parlimen.

“Ini tidak pernah berlaku dan kami beri kuasa penuh kepada Dewan Rakyat dan speaker untuk selesaikan masalah ini.

“…kena hormati speaker. Jangan suka-suka (letak notis).”

Dzulkefly berkata, mesyuarat dengan speaker Dewan Rakyat memutuskan perokok boleh berbuat demikian di luar bangunan Parlimen sehingga sebuah ruang merokok alternatif tetap disediakan di luar bangunan Parlimen.

Katanya, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama rakan kongsi perkhidmatan berhenti merokok, mQuit akan menyediakan perkhidmatan rawatan berhenti merokok dengan rawatan permulaan di ruang legar bangunan Parlimen.

“Ia sebagai usaha mencapai sasaran ‘sifar rokok’ dalam bangunan Parlimen dan kafeteria di dalam premis Parlimen.

“Perkhidmatan saringan nafas dan fungsi paru-paru juga ditawarkan secara percuma.”

Selasa lalu, seorang ahli Parlimen antara 8 individu dikenakan kompaun kerana merokok di dalam bangunan Parlimen sejak larangan itu dikuatkuasakan Isnin lalu.

Perokok boleh dikenakan kompaun tidak lebih RM500 dan didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih 2 bulan atau kedua-duanya sekali, jika gagal membayar denda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.