Pemuda PPBM tolak ratifikasi ICERD jika jejas perlembagaan, kata Syed Saddiq

Pemuda PPBM tolak ratifikasi ICERD jika jejas perlembagaan, kata Syed Saddiq

Sebarang bentuk agenda untuk mengubah dan menggubal dasar kenegaraan Malaysia baru di dalam perlembagaan Persekutuan hanya boleh dibuat melalui proses di Parlimen.

Syed Saddiq berkata, resipi kejayaan sesebuah negara adalah berdasarkan acuan masing-masing dan tidak semestinya menurut aturan diwar-warkan oleh pihak luar. (Gambar Twitter)
MUAR:
Pemuda PPBM akan menolak proses meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sekiranya ia melemahkan atau menghakis fungsi dan kesan Artikel 153 perlembagaan Persekutuan, sistem Raja berperlembagaan, kedudukan Islam, dan mana-mana hak termaktub dalam perlembagaan itu.

Ketua Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pendirian sayap PPBM itu berdasarkan persefahaman dan ketetapan bersama parti komponen Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan dan menyejahterakan Malaysia melalui asas dan dasar sedia ada dalam perlembagaan Persekutuan.

Menteri belia dan sukan itu berkata, sebarang bentuk agenda untuk mengubah dan menggubal dasar kenegaraan Malaysia yang baru di dalam perlembagaan Persekutuan hanya boleh dibuat melalui proses di Parlimen.

“Ini bermakna ia dibuat atas kehendak politik rakyat Malaysia sendiri tanpa campur tangan pihak asing. Kami menolak sebarang unsur tekanan dan ancaman pihak luar dalam proses menggubal apa sahaja undang-undang di Malaysia, termasuklah perlembagaan Persekutuan sekiranya ratifikasi ICERD dilaksana.

“Pemuda PPBM mendesak pihak kerajaan mengkaji semula cadangan ratifikasi ini sama ada ia akan meletakkan undang-undang negara pada tahap sama dengan undang-undang antarabangsa kerana ia boleh mengakibatkan keseimbangan sosio-ekonomi dan hak-hak tertentu di Malaysia mula terhakis,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Kabinet belum membincangkan secara terperinci proses ratifikasi ICERD, namun begitu beliau memberi jaminan isu tersebut akan dibincangkan.

Syed Saddiq akan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet dan mendapatkan penjelasan pihak berkenaan mengenai usul itu, selain memberi jaminan Pemuda PPBM akan terus berusaha memastikan kerajaan PH tidak lari daripada tujuan asal mentadbir Malaysia.

Beliau berkata, resipi kejayaan sesebuah negara adalah berdasarkan acuan masing-masing dan tidak semestinya perlu menurut semua aturan yang diwar-warkan oleh pihak luar.

“Dalam proses pembentukan sosio-ekonomi negara, akan terdapat perkara fundamental yang mungkin bercanggah dengan konsep universal yang diguna pakai oleh negara tertentu, namun kita berhak membina model negara ini menggunakan cara dan acuan kita sendiri.

“Iaitu mengikut hukum agama, adat dan kearifan tempatan sesuai dengan prinsip Islam yang sejagat dalam menjaga kemuliaan insan, namun kerajaan Malaysia sama sekali tidak akan berlaku tidak adil terhadap mana-mana pihak walaupun ICERD tidak diratifikasi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.