
Katanya, pelbagai masalah akan timbul daripada tindakan itu, termasuk plagiarisme, “free riding” dan pelajar dipaksa meletakkan nama penyelia di dalam tesis mereka.
“Ini akhirnya menjadi satu jenayah di bidang akademik semata-mata untuk mendapatkan ranking supaya menteri boleh berbangga,” katanya ketika berucap di Seminar Antarabangsa Pendidikan Berasaskan Nilai di Universiti Islam Antarabangsa hari ini.
“Pada saya, tak ada kebanggaannya dengan ranking tinggi, jika kita menggadaikan nilai, integriti dan perkara paling asas, iaitu manusiawi.
“Cuba kita tanya diri sendiri dengan ikhlas, berlakukah perubahan universiti yang tertinggi ranking dalam negara dari segi bertambahnya pelajar dan juga pensyarah, khususnya (pelajar) antarabangsa yang ingin belajar di sana?”
Sebelum ini, Maszlee pernah mempersoalkan tindakan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terlalu mengejar ranking berbanding memfokuskan matlamat utama penubuhannya.
Katanya, universiti sepatutnya menjadi medan melahirkan golongan ilmuan dan cendekiawan.
Hari ini, Maszlee berkata, tiada ertinya universiti ditubuhkan tanpa nilai manusiawi.
“Tidak ada ertinya universiti, jika kita mengamalkan diskriminasi terhadap orang yang kelainan upaya, berlainan bangsa dan berlainan agama.
“Universiti yang sebenar bukan sekadar menghasilkan ilmu, tetapi menjadi model contoh kepada masyarakat.”