
Laporan bertajuk “Migration, Displacement and Education: Building Bridges Not Walls”, menekankan pencapaian dan kelemahan negara dalam memastikan hak kanak-kanak pendatang dan pelarian mendapat manfaat daripada pendidikan berkualiti, hak yang memenuhi kepentingan pelajar dan masyarakat di tempat tinggal mereka.
Ringkasan eksekutif laporan itu yang die-melkan kepada Bernama menyatakan hak kanak-kanak itu untuk pendidikan berkualiti, walaupun semakin diakui, ia sebenarnya mencabar di bilik darjah dan padang sekolah serta dinafikan sama sekali oleh beberapa kerajaan.
Laporan itu menyatakan di Sabah, Malaysia, kanak-kanak pendatang dari Filipina dan Indonesia dikenal pasti sebagai orang asing dalam sijil kelahiran mereka dan tidak boleh menghadiri sekolah kerajaan.
Perkara yang sama turut berlaku ke atas kanak-kanak Rohingya di Malaysia yang dinafikan akses kepada pendidikan berikutan status tiada kewarganegaraan yang berlarutan.
Manos Antoninis, Pengarah laporan itu berkata: “Perubahan besar dilakukan di negara-negara dari Chad dan Uganda ke Lubnan dan Turki bagi menjadikan pendidikan lebih inklusif untuk kanak-kanak, tidak kira status pengenalan atau kediaman mereka. Sudah tiba masanya untuk Malaysia melakukan perkara yang sama”.
Walaupun kurikulum boleh disesuaikan untuk merangkumi kepelbagaian, laporan itu berkata, bukan semua guru besar sekolah mengetahui isu ini atau bermotivasi atau mempunyai kelengkapan untuk memimpin perkembangan pemahaman antara budaya di sekolah mereka.
Laporan itu menyebut di Malaysia, pemimpin sekolah yang diminta untuk melaksanakan program antara budaya menghadapi kekurangan bimbingan daripada kerajaan dan sedikit autonomi untuk penyesuaian (program).
Penekanan khusus dibuat terhadap keperluan pendidikan yang kronik bagi kanak-kanak pelarian kurang upaya di negara ini. Guru-guru di pusat pembelajaran di Malaysia melihat ada beberapa keluarga yang mempunyai sumber pendapatan terhad, membiarkan anak kurang upaya mereka di rumah bagi membolehkan anak yang lain ke sekolah.
Laporan itu menyenaraikan 7 cadangan untuk pendidikan golongan pendatang dan pelarian iaitu hak mereka dilindungi, mereka dimasukkan ke dalam sistem pendidikan negara, keperluan pendidikan mereka difahami dan dirancang, sejarah mereka dalam pendidikan haruslah tepat untuk mencabar prejudis, guru bersedia menangani kepelbagaian dan kesukaran, potensi mereka dimanfaatkan serta pendidikan mereka disokong melalui bantuan kemanusiaan dan pembangunan.
Ringkasan laporan itu juga menyatakan migrasi dan pemindahan adalah 2 cabaran global yang saling mempengaruhi dengan pendidikan dalam banyak cara. Kedua-duanya memberi kesan kepada mereka yang bergerak, yang tinggal dan menjadi tuan rumah pendatang, pelarian atau penduduk lain yang berpindah-randah.
Perpindahan dalaman memberi kesan terutamanya kepada banyak negara berpendapatan sederhana seperti China yang mana 1 dalam 3 kanak-kanak di kawasan luar bandar ketinggalan. Perpindahan antarabangsa pula menjejaskan negara berpendapatan tinggi yang mana imigran membentuk sekurang-kurangnya 15% populasi pelajar di setengah sekolah.
Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, di seluruh dunia, kerajaan mengambil langkah-langkah berani untuk memikul tanggungjawab pendidikan bagi pendatang dan pelarian yang wujud hanya dalam bidang perjanjian antarabangsa.