
Jusninawati Abdul Gani, 38 berkata, sewaktu dipenjara di Penjara Kamunting, Perak, beliau tidak dapat melakukan apa-apa bagi membela kebajikan 2 orang anaknya, malah hanya mengharapkan ihsan ibunya untuk mengambil tugas itu.
Menurut ibu tunggal itu, keadaan keluarganya menjadi lebih sulit sewaktu beliau dipenjarakan. Hal ini kerana sebelum ini beliau merupakan “tulang belakang” keluarga, yang menanggung setiap perbelanjaan dan keperluan rumah, ibu dan anak-anaknya.
“Saya rasa buang masa (berada dalam penjara) sebab banyak peluang bersama keluarga terlepas. Saya tidak dapat buat apa-apa untuk mak dan anak-anak.
“Kadang kala, bila saya fikirkan perkara berkenaan, saya jadi marah. Namun, saya tetap ingatkan diri bahawa ia adalah ujian Allah.
“Setiap kali datang ke penjara, ibu akan mengadu bahawa anak-anak mahukan itu dan ini, mahu berbelanja. Ibu juga cerita mengenai perlukan duit untuk bayar yuran di sekolah, perbelanjaan dapur. Itu yang buatkan saya hendak keluar segera, tapi tidak dapat lakukan apa-apa,” katanya kepada FMT.
Pada 11 Mac lepas Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk membebas dan melepaskan Jusninawati yang dihukum penjara 7 tahun oleh Mahkamah Tinggi atas dakwaan menyembunyikan maklumat akitiviti berkaitan keganasan daripada pihak berkuasa.
Panel 5 hakim diketuai Alizatul Khair Osman Khairuddin sebulat suara membenarkan rayuan Jusninawati yang merupakan anggota polis berpangkat koperal bagi mengetepikan sabitan dan hukuman ke atasnya.
Jusninawati didakwa dengan sengaja tidak memberi maklumat berkenaan kesalahan dipercayai perbuatan keganasan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 130JA Kanun Keseksaan.
Bukan itu sahaja, anak kelahiran negeri Perlis itu turut didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mengimbau kembali kenangan sewaktu berada di penjara, Jusninawati berkata, beliau sering dimaklumkan oleh orang tuanya, bahawa anaknya sering bertanya di manakah ibu mereka dan bilakah ia akan pulang.
“Sewaktu ditangkap, anak sulung saya baru berusia 8 tahun. Dia lalui hari-harinya tanpa saya dan sering demam serta kerap menangis.
“Ibu juga beritahu, anak tidak nampak tulisan guru di papan hitam. Ibu terpaksa maklumkan kepada pihak sekolah bagi memohon bantuan cermin mata,” katanya.
Disebabkan hilang punca pendapatan dan sumber kewangan, status sosial ibunya turut berubah. Lembaga Zakat Selangor sewaktu lawatan melihat keadaan keluarganya, mengisytiharkan orang tuanya itu berstatus fakir miskin dan anak-anaknya dikategorikan sebagai asnaf.
“Alhamdulillah dapat bantuan bulanan RM400 daripada Zakat Selangor. Saya yang berada dalam (penjara) rasa legalah sedikit,” katanya yang kini menetap di Petaling Jaya.
Sehingga kini walaupun sudah bebas, air mata Jusninawati akan tetap mengalir apabila mengenangkan saat-saat sukarnya berada di sebalik tirai besi, terputus hubungan dengan semua pihak, termasuk anak-anak.
Jusninawati berkata, sewaktu hakim membuat keputusan untuk membebaskan dan melepaskannya daripada pertuduhan dan hukuman penjara, kegembiraan anak-anaknya tidak dapat disorok lagi. Mereka berteriak kegembiraan mendengar keputusan berkenaan.
“Semasa hari saya dibebaskan, mereka (anak-anak) tanya adakah benar saya boleh balik ke rumah. Bahkan mereka menjerit sekuat hati kerana saya benar-benar boleh pulang ke rumah.
“Mereka berebut-rebut mahu tidur bersama pada waktu malam itu untuk lepaskan rindu. Saya bersyukur ahli keluarga tidak sisihkan saya,” katanya.
Selepas hampir 3 bulan dibebaskan, Jusninawati berkata, perasaannya masih tidak tenteram, bahkan rasa curiganya masih tidak dapat diatasi.
Menurutnya, beliau bimbang masih diekori pihak berkuasa yang tidak memakai pakaian seragam .
“Rasa curiga saya bertambah kuat kerana semasa dalam penjara, pasukan polis dari Bahagian E8, Cawangan Khas sentiasa ingatkan apabila kami sudah bebas, mereka akan sentiasa awasi kami hingga kami mati,” katanya.
“Trauma itu masih tidak hilang, apabila saya nampak sesuatu yang pelik, saya akan jadi cepat curiga. Saya juga curiga jika mereka memantau komunikasi saya di Whatsapp.”
Beliau yang kini sudah melaporkan diri bertugas bagi menyambung semula perkhidmatannya sebagai anggota polis berkata, beliau diberitahu tidak akan memperolehi gaji untuk tempoh 3 bulan akan datang, bermula Mei lepas.
“Saya hidup dengan mengambil komisen daripada jualan kerepek dan kuih raya yang tak seberapa. Justeru tidak dapat membuat apa-apa persiapan untuk raya kali ini,” katanya kepada FMT.
“Hingga kini bank pun masih sekat akaun saya.”