
Ia susulan pengharaman beberapa perhimpunan aman di wilayah-wilayah utama dan sebahagian ibu kota dalam cubaan pihak berkuasa untuk mengetepikan penunjuk perasaan berdemonstrasi secara aman.
Rusuhan bertukar menjadi ganas sejak beberapa hari lalu, dengan 6 orang terbunuh di Assam, sebuah negeri di bahagian timur laut India, di mana polis telah menembak gas pemedih mata dan menahan beratus orang.
Undang-undang itu yang membenarkan New Delhi memberikan kewarganegaraan kepada orang bukan Islam dari 3 negara jiran, dikritik kerana dilihat meminggirkan masyarakat Islam di negara majoriti Hindu itu.
Perdana Menteri Narendra Modi mendakwa langkah itu bertujuan melindungi minoriti yang tertindas, namun pengkritik melihatnya sebagai sebahagian daripada perancangan Modi dan partinya, Bharatiya Janata (BJP) untuk menjadikan India sebagai negara Hindu dan meninggalkan sekular yang menjadi asasnya selama ini.
Protes membabitkan pelajar-pelajar Universiti Jamia Millia Islamia merupakan demonstrasi terbesar setakat ini.
“Kami sangat marah dengan kerajaan BJP, mereka telah meletakkan perkauman pada titik yang melampau,” kata Taiba Hadis, 18, kepada AFP pada perhimpunan itu.
“Mereka mempersoalkan kewujudan kami, dan sudah tiba masanya untuk kita bercakap.”
Di Mumbai, beratus orang yang dikawal ketat membawa plakad tertera “India Kita Punya” dan melaungkan “Kita Semua Adalah 1”.
“Kita tidak boleh terima undang-undang ini, sukar hendak percaya bahawa kami terpaksa membuktikan kerakyatan kami selepas tinggal di India bertahun-tahun,” kata Tabeer Rizvi.
“Saya tidak terkejut melihat orang daripada semua agama keluar membantah undang-undang ini.”
Demonstrasi juga diadakan di negeri-negeri lain termasuk West Bengal, Tamil Nadu dan Telangana.
Sesekali berlaku pertembungan antara polis dan penunjuk perasaan di beberapa bandar.
Di Washington, Jabatan Negara Amerika Syarikat mendesak New Delhi “melindungi hak-hak keagamaan minoriti selaras dengan perlembagaan dan nilai-nilai demokrasi India.”
Sekurang-kurangnya 21 orang, termasuk 12 anggota polis cedera dalam pertempuran di Delhi di daerah Seelampur pada Selasa, dengan polis menembak gas pemedih mata selepas ribuan penunjuk perasaan melemparkan batu serta membakar bas dan kenderaan polis.
8 orang ditangkap kerana merusuh dan membakar, kata polis semalam.
6 orang lagi ditahan di West Bengal pada Selasa kerana melemparkan bom kepada anggota polis sehingga mencederakan 7 anggota.
Di Uttar Pradesh, lebih daripada 110 orang ditangkap kerana memprotes dan memuat naik kenyataan menghasut di media sosial, kata polis.
Asrama di Universiti Aligarh Muslim, di mana pelajar pada Ahad lalu mendakwa polis bertindak kejam, dikosongkan selepas pentadbiran memberitahu penghuninya untuk memulakan percutian musim sejuk mereka lebih awal.
5 orang ditangkap di Vadodara, Gujarat, kerana menulis slogan Nazi di sebelah logo parti BJP yang dilukis di dinding ibu pejabat polis.
Parti pembangkang, yang dipimpin oleh Presiden Kongres Sonia Gandhi, bertemu dengan Presiden India, Ram Nath Kovind pada Selasa untuk meminta beliau menasihati kerajaan Modi menarik balik undang-undang tersebut.
Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric berkata, pertubuhan antarabangsa itu “bimbang dengan keganasan dan tuduhan yang dikenakan secara berlebihan oleh pasukan keselamatan”.
“Kami menggesa kekejaman ini dihentikan dan memberi penghormatan penuh terhadap hak kebebasan bersuara dan ekspresi melalui perhimpunan aman,” katanya.