Tindakan tegas jika rakam sekatan jalan untuk burukkan imej polis

Tindakan tegas jika rakam sekatan jalan untuk burukkan imej polis

Ketua polis negara berkata, perbuatan merakam polis bertugas di sekatan jalan dengan niat memberi persepsi negatif tidak bertanggungjawab dan melanggar arahan PKP.

Abdul Hamid Bador berkata, ia satu kesalahan jika rakyat sengaja keluar untuk merakam sekatan jalan kerana polis yang menjalankan tanggungjawabnya bukan untuk difilemkan atau ditayang.
KUALA LUMPUR:
Individu yang sengaja merakam video atau mengambil gambar anggota polis bertugas di sekatan jalan raya dengan niat memberi persepsi negatif di media sosial boleh dikenakan tindakan tegas, kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, perbuatan itu tidak bertanggungjawab dan melanggar arahan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Saya ingin tegaskan kehadiran anggota polis yang melakukan sekatan jalan raya di seluruh negara bukanlah suka-suka untuk menyekat pergerakan atau menyusahkan orang ramai.

“Sebaliknya mereka (anggota polis) melaksanakan satu misi yang sungguh suci dengan objektif untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19 demi keselamatan orang ramai,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman baru-baru ini.

Hamid berkata, pegawai dan anggota polis yang bertugas di sekatan jalan amat mudah terdedah kepada jangkitan Covid-19.

“Oleh itu, mana-mana individu yang berniat berbuat demikian (rakam dan ambil gambar untuk burukkan imej polis) diberi peringatan keras, ingatlah di luar sana banyak pihak yang memerhati anda untuk ditangkap.

“Sekiranya mereka keluar untuk membeli barangan tiada masalah, tetapi jika sengaja keluar untuk merakam sekatan jalan raya sudah jadi satu kesalahan kerana tugas polis yang menjalankan kewajipannya bukanlah satu bahan untuk difilemkan atau ditayang.”

Beliau berkata, polis sentiasa memastikan keselamatan pegawai dan anggota yang bertugas di sekatan jalan serta mereka juga perlu mematuhi jarak sosial.

Katanya, beliau juga turun padang untuk memastikan semua anggota mempunyai topeng, sarung tangan dan cecair pembasmi kuman di setiap sekatan jalan.

“Setiap kali mereka menahan kereta, mereka tidak rapat serta sentuh bahagian badan kereta dan prosedur operasi standard itu telah ada. Mereka hanya bertanya kepada pemandu hendak ke mana dan selepas itu anggota saya segera membersihkan tangan mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.