
Ketua Menteri, Abang Johari Openg berkata beliau menerima permintaan persatuan dan dewan perniagaan untuk mempertimbangkan bantuan kepada PKS, perusahaan mikro, penjaja dan peniaga kecil selepas mengumumkan pakej pertama “Sarawakku Sayang” pada 23 Mac lalu.
Katanya, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan bank untuk menawarkan pinjaman tanpa faedah kepada PKS di bawah kemudahan bantuan khas (SRF) Bank Negara Malaysia.
“Pinjaman bebas faedah RM1 bilion akan disediakan kepada PKS di negeri ini.
“Implikasi kewangan untuk subsidi kadar faedah selama 3 tahun setengah ialah RM80.7 juta,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa hari ini.
Abang Johari berkata, skim itu akan memanfaatkan lebih 40,000 PKS di seluruh Sarawak.
Katanya, PKS boleh memohon pinjaman itu daripada mana-mana cawangan Maybank, Hong Leong Bank atau RHB Bank.
Bagaimanapun, mereka perlu memenuhi definisi Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan dan syarat pembiayaan lain, termasuk:
- Modal kerja dari segi bayaran gaji;
- Pinjaman mudah tanpa faedah RM20,000 hingga RM500,000;
- Tiada cagaran diperlukan;
- Pemilik tunggal, perkongsian dan Sdn Bhd;
- Perniagaan beroperasi 3 tahun atau lebih.
PKS yang beroperasi kurang 3 tahun masih boleh memohon pinjaman daripada skim kredit mikro RM50 juta melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Mintred) seperti diumumkan dalam pakej rangsangan pertama.
Abang Johari berkata, geran khas RM1,500 akan diberikan kepada 65,000 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar di negeri itu melalui Sarawak Pay.
Geran yang akan disalurkan melalui 2 bayaran itu, berjumlah RM98.4 juta dan akan ditanggung kerajaan negeri.
Untuk meringankan beban kewangan perusahaan mikro, katanya, kerajaan negeri menghapuskan kadar faedah 2% selama 3 tahun setengah bagi skim kredit mikro Mintred.
Kerajaan negeri turut mengecualikan sewa selama 6 bulan bagi PKS dalam sektor peruncitan yang beroperasi di premis milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.
Terdahulu, Abang Johari berkata, kerajaan negeri sedar PKS ialah pemancu utama ekonomi negeri yang membentuk 75% sektor perniagaan, menyumbang 20% kepada keluaran dalam negara kasar Sarawak serta menyediakan kira-kira 600,000 pekerjaan untuk rakyat negeri ini.
“Oleh itu, penting bagi kerajaan bertindak balas terhadap masalah dihadapi PKS, perusahaan mikro serta peniaga dan peniaga kecil agar mereka dapat terus berdaya tahan dalam menghadapi tekanan ekonomi yang memberi kesan kepada kita semua.”