Ketakutan terhadap virus cetus kebencian terhadap orang asing, kata NGO

Ketakutan terhadap virus cetus kebencian terhadap orang asing, kata NGO

Rakyat didakwa lebih xenofobia berbanding sebelum ini.

Sebilangan rakyat dilaporkan menyalahkan pekerja asing atas penularan virus Covid-19.
PETALING JAYA:
Beberapa kumpulan yang memperjuangkan nasib komuniti warga asing mendakwa krisis Covid-19 menjadikan rakyat lebih xenofobia berbanding sebelumnya.

Memetik laporan bercirikan anekdot, mereka terkejut melihat kebencian terhadap warga asing nampaknya semakin hebat melebihi tahap yang dilaporkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada Disember.

Jurucakap Caram Asia dan rakan kongsinya, North South Initiative, berkata segelintir rakyat menyalahkan pekerja warga asing atas penularan virus itu kerana mereka dianggap tidak mengamalkan kebersihan yang baik.

Mereka menyalahkan ramai warga Bangladesh, Pakistan dan Rohingya yang menghadiri persidangan tabligh di Sri Petaling dan memarahi mereka kerana didakwa lambat mendapatkan rawatan perubatan, tambah jurucakap itu.

Pertubuhan itu juga berkata terdapat banyak maklumat palsu membabitkan pekerja warga asing termasuk dakwaan mereka mengancam penguatkuasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

Jurucakap itu memberitahu FMT kebanyakan insiden xenofobia muncul dalam bentuk penghinaan berbaur perkauman yang disiarkan dalam talian.

Sumitha Shaanthinni Kishna, pengarah NGO Our Journey, berkata golongan xenofobia geram bantuan kerajaan disalurkan kepada warga asing.

Dia menyedari sikap itu di media sosia dan mendengar pengalaman warga asing sendiri ketika menyerahkan bantuan barangan kering dan bentuk bantuan lain kepada mereka.

“Mereka kata warga asing patut dikurung dalam lokap dan bukannya diberi bantuan,” katanya kepada FMT.

Seorang penganjur untuk Pertim, sebuah persatuan pembantu rumah Indonesia, mengesahkan perasaan jelik terhadap warga asing meningkat sejak ketakutan terhadap virus itu muncul.

Memperkenalkan dirinya hanya sebagai Nasrikah, dia berkata: “Selalu berlaku rasa tidak senang terhadap pekerja migran atas banyak sebab. Tetapi mereka kini dipersalahkan kerana wabak tersebut. Ada yang mengatakan pendatang membawa virus itu kerana mereka kotor.”

Nasrikah juga berkata pembantu rumah sambilan tidak dapat mencari pekerjaan sejak PKP berkuatkuasa.

“Calon majikan berpendapat pembantu ini membawa virus itu dan takut untuk menggajikan mereka,” katanya.

Alex Ong, seorang penyelaras Migrant Care Malaysia, menyatakan anggota masyarakat bukan satu-satunya golongan yang menunjukkan sikap xenofobia.

Beliau mengkritik sesetengah NGO yang baru-baru ini merungut tentang warga asing yang dibenarkan tinggal di Malayan Mansion dan Selangor Mansion.

NGO terbabit dapat tahu tentang kehadiran warga asing di 2 rumah pangsa di kawasan itu ketika membaca berita melaporkan kawasan itu dikenakan perintah kawalan pergerakan yang diperketatkan (PKPD).

“Ini satu bentuk xenofobia,” kata Ong kepada FMT. “Saya fikir mereka tak layak jadi NGO.”

Dia teringat satu kejadian apabila anggota sebuah kumpulan amal beritahu wakil Migrant Care bahawa mereka hanya mengedarkan makanan kepada rakyat.

“Mereka beritahu kami, ‘maaf, makanan ini bukan untuk orang asing,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.