10 taman perumahan di Temerloh kena PKPD

10 taman perumahan di Temerloh kena PKPD

Pelaksanaan PKPD itu susulan jangkitan kes mendadak di kawasan terbabit.

Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat peningkatan kes positif secara mendadak di mana sehingga kini sebanyak 72 kes dilapor melibatkan penduduk yang tinggal di 10 taman perumahan di Temerloh, Pahang.
PETALING JAYA:
Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dikenakan di 10 taman perumahan sekitar Jalan Telok Ira Temerloh, Pahang, selama 14 hari bermula 21 Feb hingga 6 Mac.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD itu susulan jangkitan kes mendadak di kawasan terbabit.

“Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat peningkatan kes positif secara mendadak di mana sehingga kini sebanyak 72 kes dilapor melibatkan penduduk yang tinggal di taman perumahan ini,” katanya dalam kenyataan.

Antara taman terlibat ialah Taman Desa Bangau, Taman Seberang Damai, Taman Kenari, Taman Seberang Temerloh 5, Taman Jaya 7, Taman Jaya 2, Taman Jaya 3, Taman Jaya 4, Taman Kelisa dan Desa Bangau.

Sementara itu, Ismail mengumumkan penamatan lebih awal PKPD di Bandar Raub Perdana, Raub, Pahang, bermula hari ini berbanding tarikh asal 25 Feb.

“KKM mengesahkan situasi penularan jangkitan di lokaliti ini terkawal dan semua kontak rapat, kumpulan sasaran dalam kalangan penduduk dikenalpasti, disampel serta diasingkan,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata semalam polis menahan 461 individu atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 430 dikompaun manakala 31 direman yang mana kesalahan cubaan rentas negeri paling tinggi direkodkan.

“Antara kesalahan direkodkan ialah rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (135), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (128), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (72), tidak memakai pelitup muka (67), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (17) dan lain-lain (42),” katanya.

Pada masa sama, pihak berkuasa menerusi Operasi Benteng menahan 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tiga tekong serta merampas lapan kenderaan darat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.