KPM benarkan sementara waktu murid ke sekolah tanpa pakaian seragam

KPM benarkan sementara waktu murid ke sekolah tanpa pakaian seragam

Murid dibolehkan berpakaian bersesuaian, kemas dan sopan apabila sesi sekolah bermula pada 1 Mac ini hingga cuti penggal pertama bermula.

Kelonggaran itu dibenarkan untuk murid yang belum mempunyai pakaian seragam sekolah, sehingga 26 Mac ini.
PUTRAJAYA:
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membenarkan murid memakai pakaian bersesuaian, kemas dan sopan ke sekolah apabila sesi persekolahan 2021 bermula pada 1 Mac ini.

Bagaimanapun, Menterinya Dr Radzi Jidin berkata kebenaran berkenaan hanya diberikan dari 1 Mac hingga 26 Mac 2021 iaitu sebelum cuti penggal pertama persekolahan bermula.

“Kami membuat keputusan ini selepas menerima pertanyaan daripada ibu bapa tentang peraturan pemakaian pakaian seragam sekolah apabila sesi persekolahan dibuka kelak.

“Kami ingin memaklumkan bahawa murid yang belum mempunyai pakaian seragam sekolah diberi kebenaran memakai pakaian yang sesuai dan kemas… mulai 1 Mac hingga 26 Mac 2021,” katanya, hari ini.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dilaporkan membantah cadangan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan beberapa Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini, supaya murid kurang berkemampuan diberikan kelonggaran untuk ke sekolah tanpa memakai pakai seragam.

Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) turut menganggap cadangan itu tidak pratikal buat masa sekarang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.