
Ketua Pengarah Pendidikan Mohd Azam Ahmad berkata langkah itu sebahagian persiapan awal Kementerian Pendidikan (KPM) menjelang Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 dan kemasukan murid berumur enam tahun ke Tahun 1 secara sukarela.
Menurutnya, proses pengambilan tersebut akan dilaksanakan dengan kerjasama penuh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
“Pembukaan permohonan dari 2 hingga 20 Mac ini dan proses saringan serta temu duga pula antara 27 Apr hingga 14 Mei,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, calon terpilih akan diwajibkan menjalani latihan ikhtisas di Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM merangkumi pelbagai bidang pengkhususan.
“Inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh sistem pendidikan negara demi manfaat anak-anak,” katanya.
Sebelum ini wujud keresahan daripada beberapa pihak berhubung kemasukan murid berumur enam tahun ke Tahun 1 secara sukarela bermula tahun depan akan menyebabkan kekurangan guru dan bilik darjah.
Kebimbangan itu turut disuarakan Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah yang turut menggesa kerajaan menangguhkan terlebih dahulu dasar berkenaan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pengambilan murid Tahun 1 dari kanak-kanak seawal enam tahun ketika melancarkan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 pada 20 Jan lalu.
Pada mulanya pengambilan secara pilihan itu dirancang dibuat menerusi ujian diagnostik bagi menentukan kelayakan kemasukan.
Namun, Anwar pada Selasa mengumumkan saringan itu tidak akan dilaksanakan selepas meneliti termasuk kebimbangan pelaksanaannya boleh memberi kesan psikologi serta bersifat diskriminatif kepada kanak-kanak.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pada 21 Jan lalu memberi jaminan kapasiti sekolah, kemudahan sedia ada serta bilangan guru mencukupi bagi menampung peningkatan murid tahun depan.